0
Derita Hidup..Masih Bayi Sudah Di Kahwinkan

SEBANYAK 30 peratus golongan remaja perempuan dikahwinkan sebelum mencapai umur 15 tahun di Niger.


Derita Hidup..Masih Bayi Sudah Di Kahwinkan......IMPIAN murni seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, Ousseina untuk menjadi jururawat dan berbakti kepada masyarakat tidak kesampaian.
“Sudah tiada lagi istilah bersekolah buat saya,” luah gadis lemah yang bekerja menjual telur di tepi jalan di selatan bandar Mahadi, Niger.
Seperti gadis-gadis seusia yang tinggal di negara berjiran dengan padang pasir Sahara itu, Ousseina tidak mempunyai pilihan lain selain berkahwin pada usia muda.
“Perkahwinan saya akan berlangsung tujuh bulan sebelum menamatkan sesi persekolahan. Mungkin jika saya berjaya mendapatkan sijil tamat sekolah, saya mempunyai peluang yang lebih cerah untuk merealisasikan cita-cita yang terpendam itu.
“Namun, kini saya pasrah. Cita-cita itu hanya sekadar impian yang tidak mungkin tercapai,” keluhnya hampa.
Golongan wanita di Niger antara yang paling teruk dalam kes kahwin paksa di dunia.
Tradisi tanpa belas kasihan itu menyumbang kepada kelahiran ramai bayi dan menjurus kepada pertambahan populasi penduduk di negara yang sedia miskin itu.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa persatuan pejuang hak asasi manusia menzahirkan tentangan terhadap tradisi yang tidak relevan itu, namun mendapat bantahan tegas daripada masyarakat tempatan.
Antara justifikasi bantahan yang diketengahkan ialah keadaan fizikal remaja perempuan yang belum cukup matang untuk menampung kehamilan pada usia tersebut.
Kehamilan pada usia remaja akan mengakibatkan kemudaratan kepada tubuh badan mereka dalam tempoh jangka masa panjang.
Tahun lepas, beberapa pertubuhan Islam juga mengugut untuk ‘menyekat jalan’ sesiapa sahaja yang cuba mencabar tradisi perkahwinan yang dikelaskan oleh pejuang feminis sebagai terlalu awal daripada disambut di bandar-bandar dan kampung-kampung.
Bawah umur
Penduduk di negara itu tidak mempedulikan umur minimum 18 tahun yang ditetapkan untuk mengahwinkan anak perempuan mereka.
KEHAMILAN awal menjadi punca pertambahan populasi penduduk Niger.



Sekolah menjadi alasan yang paling kerap digunakan terutamanya jika remaja perempuan itu tidak menunjukkan keputusan akademik yang memberangsangkan.
“Jika menghantar anak ke sekolah sekalipun, dia akan membawa pulang seorang bayi dan bukannya sijil diploma,” rengus pemandu teksi motosikal Maradi, Balla Issa.
Pemikiran kolot seperti itu menjejaskan sistem pendidikan di negara tersebut serta menghalang peluang remaja perempuan Niger menggapai cita-cita mereka.
Statistik PBB menunjukkan empat daripada 10 orang kanak-kanak perempuan mendaftar masuk ke sekolah rendah manakala hanya dua daripada 10 orang pelajar itu melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah rendah.
Peratusan pelajar yang menyambung pengajian ke peringkat menengah atas lebih teruk iaitu hanya tiga daripada 100 pelajar perempuan.
Menurut kenyataan pejabat Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), statistik kahwin paksa di ibu negara Niger, Niamey menunjukkan angka yang membimbangkan.
Sebanyak 30 peratus gadis dikahwinkan sebelum mencapai usia 15 tahun manakala 75 peratus lagi menamatkan zaman bujang sebelum umur 18 tahun.
Kaji selidik yang dijalankan oleh kerajaan yang memerintah pemerintah turut mendapat keputusan yang sama.
Faktor ekonomi juga menjadi punca penularan adat tradisi itu diteruskan di negara yang sering dilanda kemarau, kekurangan bekalan makanan serta masalah kekurangan zat itu.
Sejumlah 60 peratus penduduk daripada populasi keseluruhan dikenal pasti sebagai golongan fakir terutama bagi yang tinggal di kawasan pedalaman.
Mengahwinkan anak perempuan secara tidak langsung akan mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh sesebuah keluarga.
Seorang pegawai PBB turut menyuarakan kekecewaan apabila ada sesetengah bayi perempuan yang telah diatur perkahwinannya walaupun masih menyusu.
“Menganggap perkahwinan pada usia remaja sebagai kewajipan adalah sangat delusi,” luah seorang doktor di Gabou, Maradi, Mamane Sani.
Menurutnya, dinding uterus remaja perempuan masih belum matang untuk menampung berat bayi. Kehamilan pada usia itu akan mendedahkan mereka kepada masalah obstetrik seperti fistula dan kerosakan organ dalaman yang seterusnya menjurus kepada masalah kegagalan pundi kencing.
Apabila keadaan itu berlaku, wanita yang didiagnos dengan penyakit tersebut akan diabaikan atau ditinggalkan. Ia boleh mendatangkan jangkitan serta kematian. Lebih malang apabila pembedahan untuk membetulkan kerosakan itu sukar didapati di kawasan miskin dan terpencil.
Berdasarkan Dana Populasi PBB (UNFPA), 48 peratus gadis bawah umur yang telah berkahwin didiagnos dengan penyakit fistula sebelum usia 19 tahun. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3zuSBuL4F 

Post a Comment

 
Top