Misteri Nyamuk Di Hutan Zika
Igauan tentang penyebaran virus Zika terus-menerus menghantui penduduk dunia ekoran peningkatan kes bawaan virus Zika mula dikesan di beberapa buah negara lain terutama di bahagian Amerika Selatan selepas kali pertama ia ditemui di Hutan Zika, Uganda pada tahun 1947.
Hutan Zika merupakan sebuah hutan tropika yang terletak tidak jauh dari bandar Entebbe iaitu kira-kira 23 kilometer dari ibu kota, Kampala di Uganda.
Menurut Institut Penyelidikan Virus Uganda (UVRI) di Entebbe, hutan seluas kira-kira 12 hektar itu merupakan hutan simpan yang dilindungi oleh pihak berkuasa Uganda untuk dijalankan proses kajian dan penyelidikan hutan.
Menurut pihak UVRI lagi, Hutan Zika dikenali sebagai kawasan yang menjadi habitat pembiakan nyamuk dengan anggaran kira-kira 60 spesies nyamuk boleh ditemui di hutan tersebut.
Sementara itu, perkataan Zika diberikan oleh penduduk setempat yang membawa maksud ‘tumbuh cepat’ di dalam bahasa Uganda kerana mereka mendakwa, hutan tersebut mempunyai pelbagai jenis tumbuhan dan dihuni oleh banyak serangga kecil termasuk nyamuk.
Penemuan virus Zika yang diambil sempena nama hutan tersebut ditemui secara tidak sengaja oleh penyelidik dari Amerika Syarikat dan Eropah sewaktu mereka menjalankan kajian untuk mencari punca kepada wabak demam kuning.
Selepas kajian itu dijalankan selama 10 tahun, penyelidik yang dibiayai oleh badan penyelidikan Rockefeller Foundation itu telah melakukan kajian terhadap vaksin pada kera jenis Regus yang dikaitkan dengan punca penularan wabak demam kuning sebelum mereka menemui mikroorganisme baharu yang dinamakan virus Zika.
Hasil kajian menyeluruh akhirnya mendapati, wabak demam kuning, demam denggi berdarah dan virus Zika adalah berpunca daripada gigitan nyamuk aedes jenis aegypti.
Walaupun virus Zika pertama kali ditemui di Uganda, hanya terdapat dua kes sahaja yang dilaporkan berlaku tentang penularan virus tersebut dalam kalangan penduduk di situ sejak 60 tahun lalu.
Menurut seorang penjaga Hutan Zika yang dikenali sebagai Mukisa, 60, dia yang bekerja selama tujuh tahun, baru sahaja mengetahui tentang virus tersebut beberapa minggu lalu ekoran tersebarnya berita tentang penularan virus tersebut di beberapa buah negara di Amerika Selatan sejak akhir tahun 2015 sekali gus menimbulkan situasi panik kepada dunia.
Penularan virus Zika turut memberi mimpi ngeri kepada wanita mengandung selepas kajian oleh pakar perubatan dari Brazil mendedahkan, ia sangat berbahaya kepada bayi di dalam kandungan sehingga boleh menyebabkan berlakunya kejadian mikrosephaly iaitu kelahiran bayi dengan kepala dan otak mengecil.
Bayi dilahirkan menghidap mikrosephaly akibat virus Zika.
Menurut laporan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), sehingga kini lebih 3,700 bayi di Brazil telah dilaporkan menghidap masalah mikrosephaly yang disebabkan oleh bawaan virus Zika dan ia dijangka akan terus meningkat.
Ketika ini, beberapa buah negara di Amerika Tengah, Amerika Selatan dan Caribbean telah dikesan terdapat penularan virus Zika seperti di Bolivia, Venezuela, Colombia, Paraguay, Ecuador, El Salvador, Guatemala, Guyana, Honduras, Mexico, Panama, Puerto Rico, Barbados dan Samoa.
Ekoran keadaan meruncing berikutan penularan virus Zika yang semakin berleluasa di kebanyakan negara di Amerika Selatan, WHO baru-baru ini telah mengisytiharkan virus Zika sebagai darurat kesihatan global.
Pengumuman tersebut telah dibuat oleh Pengerusi WHO sendiri, Margaret Chan berikutan peningkatan mendadak kes mikrosephaly terhadap bayi sehingga memerlukan perhatian antarabangsa.
Dalam pada itu, WHO menganggarkan sehingga empat juta orang akan dijangkiti virus Zika dalam masa beberapa bulan ekoran tahap penularan virus tersebut yang semakin berleluasa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment