0
Surat Terakhir Dari Obama
Obama di hari-hari terakhir sebagai Presiden



WASHINGTON: Presiden Barack Obama menulis surat rasmi terakhir sebagai Presiden dengan mengucapkan penghargaan kepada rakyat Amerika Syarikat (AS) yang memberikan kepercayaan dan pengajaran kepadanya sebagai pemegang jawatan nombor satu negara itu. 

Obama menjelaskan sudah menjadi tradisi setiap Presiden meninggalkan surat ucapan selamat tinggal dalam Oval Office untuk Presiden seterusnya. Tujuan surat ini adalah untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang mungkin membantu bakal Presiden menerajui jawatan terpenting negara ini, katanya lagi. 

"Sebelum saya meninggalkan nota untuk Presiden ke-45, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih terakhir kerana penghormatan yang diberikan untuk berkhidmat sebagai Presiden ke-44. 

Apa yang saya belajar daripada kamu menjadikan saya Presiden dan lelaki yang lebih baik," kata Obama. Presiden berkulit hitam pertama negara kuasa dunia itu menceritakan pengalamannya selama lapan tahun di Rumah Putih dengan menyaksikan kebaikan rakyat negara itu dalam membantu satu sama lain, ketika menempuh saat-saat sukar. 

"Saya menyaksikan jiran membantu satu sama lain ketika ekonomi meleset, meratapi insiden serangan di Charleston, saintis membantu lelaki lumpuh dan yang paling penting tanggungjawab menjaga antara satu sama lain," kata Obama. 

Menyimpulkan surat itu, Obama menggesa semua rakyat Amerika tanpa mengira parti agar bekerjasama sebagai rakyat bertanggungjawab, bukan sahaja ketika pilihan raya tetapi ketika kepentingan negara dipertaruhkan, sepanjang hayat

. "Saya sentiasa berada bersama anda. Ketika kemajuan negara kita semakin perlahan, perlu diingat Amerika bukan projek seseorang, ia adalah kerja kita bersama menerusi demokrasi dan kita akan menempuhinya. Ya, kita boleh," - Agensi

Post a Comment

 
Top