0
Orang ramai yang pernah melalui Jalan Kamunting Lama di Kamunting, Perak tentu berpeluang melihat sebuah kuil Hindu berwarna putih di tepi jalan. 


Jalan Kamunting Lama bermula dari Penjara Taiping (penjara pertama di Malaysia) berdekatan Zoo Taiping (zoo pertama di Malaysia) dan Taman Tasik Taiping (taman tasik pertama di Malaysia), melalui kawasan Klian Pau, hingga sampai ke Kamunting.

Kuil ini agak pelik kerana ternyata belum siap sepenuhnya. Hanya bahagian tengah kuil yang digelar “moolastanam” dan “gopuram” berdiri megah.

Namun begitu, menurut penduduk sekitar yang ditemui, upacara keagamaan seperti “pooja” dilakukan setiap hari oleh sami yang bertugas.

Apakah keistimewaan kuil yang belum siap sepenuhnya ini sehingga menjadi tumpuan ramai penganut agama Hindu serta sekumpulan penduduk kaum Cina? Malah, saya menulis mengenai kuil ini di majalah Sarina (Mac 2004) kerana mendapati ia sedikit unik.

“Kuil ini adalah Kuil Sri Durgai Amman iaitu Dewi Sakti yang digambarkan duduk di atas seekor harimau,” kata salah seorang penduduk yang mengetahui sejarah kuil berkenaan.

“Kuil ini memang mistik dan ada cerita menarik. Tetapi terpulang kepada orang ramai untuk mempercayai atau tidak kisah ini,” katanya sebelum memulakan cerita yang lengkap tetapi meminta identiti dirahsiakan.

Si bisu mula bercakap

Kuil ini dibina pada tahun 1950-an. Saiznya kecil sahaja dan lebih merupakan sebuah pondok kecil. Pada masa itu, kawasan ini merupakan kuari tanah merah. Kuil ini pula dipercayai dibina oleh pekerja di kuari berkenaan.

Pada tahun 1970-an, sebuah keluarga Cina memulakan usaha membina bangunan batu untuk dijadikan kuil. Jadi, kuil yang dulu hanya sebuah pondok buruk mula menjadi kuil batu. Kuil baru itu dibiayai oleh keluarga Cina berkenaan. Urusan pemujaan pula diserahkan kepada seorang sami kaum India.

Pada masa itu lagi, orang ramai sudah tahu kuasa yang ada di kuil ini. Ramai penganut Hindu yang datang untuk bersembahyang dan berdoa. Doa mereka sentiasa dimakbulkan. Misalnya, pasangan kekasih berdoa untuk berkahwin. Pasangan suami-isteri berdoa untuk mendapatkan anak. Penganggur berdoa untuk mendapat kerja. Macam-macam permintaan dibuat di kuil ini.

Semua permintaan yang dibuat dengan hati yang suci selalu menjadi kenyataan. Penganut Hindu datang dari jauh dan dekat setelah mengetahui kuasa atau “sakthi” Kuil Sri Durgai Amman. 
Kuil ini menjadi semakin dikenali. Orang ramai mula mengakui bahawa memang terdapat suatu kuasa yang penuh mistik di kuil ini. Ada juga yang mengatakan bahawa terdapat penunggu di kuil ini.
Salah seorang penduduk yang doanya dimakbul adalah ahli keluarga Cina yang membina kuil berkenaan. Seorang budak lelaki dalam keluarga itu bisu. Tetapi setelah berdoa di kuil berkenaan, dia dikatakan sudah boleh bercakap.

Mengharapkan keajaiban

Pada tahun 1980-an, keputusan diambil oleh pihak berkuasa tempatan untuk merobohkan kuil ini kerana tidak memiliki lesen. Orang ramai cuba membuat rayuan tetapi tidak berjaya kerana kawasan berkenaan perlu digunakan untuk tujuan lain. Jadi, orang ramai terpaksa akur. Namun, mereka berdoa supaya kuil itu diselamatkan.

Mereka semua mengharapkan suatu keajaiban berlaku agar kuil itu tidak dirobohkan. Apatah lagi, orang ramai yang selalu berdoa di kuil berkenaan begitu yakin bahawa terdapat “sakthi” atau kuasa ajaib di kuil berkenaan.

Namun, hari yang ditakuti itu tiba. Jentolak dibawa untuk merobohkan kuil itu kerana dibina atas tanah pihak berkuasa tempatan tanpa lesen yang sah. Orang ramai tidak mampu melawan kerana sedar bahawa pemandu jentolak hanya menjalankan tugas yang diamanahkan.

Tiba-tiba, budak Cina yang pernah bisu itu berlari dan cuba menghalang jentolak yang mahu merobohkan bangunan kuil. Orang ramai terkejut melihat perbuatannya. Mereka cuba menahan budak itu kerana mereka sedar bahawa adalah salah jika cuba menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas.

Budak Cina itu pula terus menjerit. Tetapi tiba-tiba, dia diserang penyakit sawan. Orang ramai membawanya balik ke rumah. Sejurus kemudian, dia pulih. Akan tetapi, sesuatu yang sangat menghairankan telah berlaku. Budak Cina itu menjadi bisu semula!

Demikianlah kisah yang diceritakan kepada saya semasa saya berusaha mencungkil kisah dan rahsia kuil berkenaan.

Ramai yang percaya bahawa Durgai Amman sendiri yang menjadikan budak Cina itu bisu semula kerana tidak suka dengan tindakannya menghalang kerja pemandu jentolak. Budak itu kononnya dimurkai kuasa ajaib yang “tinggal” di kuil berkenaan.

Pemandu jentolak pula meneruskan kerja merobohkan bangunan kuil. Orang ramai melihat dengan hati yang pilu. Mereka sedih melihat bangunan kuil yang menjadi tumpuan mereka saban hari mula runtuh sedikit demi sedikit.

Pada waktu itulah suatu lagi keajaiban dilaporkan berlaku. Jentolak hanya berjaya merobohkan sebahagian bangunan kuil. Bahagian paling utama bagi sebuah kuil Hindu adalah “moolastanam” dan “gopuram”. Di situlah kuasa atau “sakthi” tertumpu.

Orang ramai yang berkumpul terpegun melihat kejadian di mana jentolak tidak berupa merobohkan bahagian “moolastanam” dan “gopuram” kuil berkenaan. Berkali-kali pemandu jentolak berusaha membereskan tugasnya tetapi bahagian utama kuil berkenaan tidak dapat diusik langsung.

Akhirnya, pemandu jentolak menyerah kalah. Dia sendiri tidak faham mengapa dan kenapa bahagian “moolastanam” dan “gopuram” tidak boleh dirobohkan walaupun hanya dibina daripada batu.

Pegawai yang mengarahkan supaya kuil berkenaan diroboh juga dikatakan mengalami beberapa nasib buruk. Tidak lama selepas insiden ini, dia hilang kerja. Hidupnya juga agak terumbang-ambing dan sudah tidak aman.

Keluarganya berpindah ke tempat lain. Selepas itu, tidak ada sebarang berita diketahui oleh penduduk di kawasan sekitar mengenai dirinya. Sedekad selepas mendengar cerita itu, saya cuba juga mendapatkan berita terkini, tetapi tidak ada apa-apa.

Sementara itu, Kuil Sri Durgai Amman di Jalan Kamunting Lama menjadi bangunan terbiar. Penganut tidak boleh melakukan upacara keagamaan di kuil berkenaan kerana kuil itu masih tidak mempunyai lesen.

Pihak berkuasa tempatan pula terus terpinga-pinga kerana tidak faham “kuasa” apa yang menghalang kerja-kerja merobohkan kuil tersebut. (Bersambung )

Uthaya Sankar SB gemar mengumpulkan kisah-kisah yang kurang diberikan perhatian oleh media arus perdana.

Post a Comment

 
Top