Saya bersama jurugambar tiba di Kota Baru jam 8.15 pagi semalam dengan menaiki penerbangan anak syarikat Malaysia Airlines (MAS), Firefly FY9060 dari Kuala Lumpur.
Merentas laluan hampir sama dengan MH370 yang hingga kini masih hilang, saya cuba membayangkan keadaan kalau-kalau mengalami nasib sama.
Di bawah kapal terbang kami yang lebih kecil berbanding pesawat Boeing yang hilang, sawah padi menghijau dan Laut Cina Selatan terbentang luas.
Saya mula memikirkan, bagaimana mahu mencari pesawat yang tiba-tiba lesap di kawasan perairan seluas ini.
Bukan mudah. Tambah lagi tiada pula isyarat atau petunjuk masih belum ditemui.
Sebaik tiba, kami bertolak terus ke Pasir Puteh, jaraknya 40 minit dari Kota Baru, menuju terus ke ibu pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Dalam perjalanan ke Pasir Puteh ini, stesen minyak sukar untuk ditemui. Hampir-hampir minyak kehabisan.
Di sini tempat utama markas operasi misi mencari dan menyelamat, kapal-kapal yang sudah berusia kembali digunakan khidmatnya.
Betullah kata orang, semakin tua semakin banyak berjasa.
Saya sempat meninjau kapal, tidak perlulah diterangkan selanjutnya. Cukup saya katakan bolehlah untuk digunakan mencari MH370.
Enjin masih berjalan baik, tetapi kemudahan tidaklah secanggih mana, teknologi boleh cukup-cukup sahaja.
Saya rasa cukup berterima kasih kepada agensi, misi mencari dan menyelamat luar negara yang datang menghulurkan bantuan.
Pihak berkuasa negara masih mengawal keadaan dan berkuasa penuh dalam misi mencari pesawat Boeing ini.
Pengkalan APMM yang dulunya senyap sepi, dipenuhi media tempatan. Media antarabangsa belum tiba lagi.
Ketika artikel ini ditulis, kira-kira jam 3 petang dijangka sidang media akan berlangsung, Ketua APMM Timur, Datuk Nasir Adam akan memberikan maklumat terkini operasi yang sedang dijalankan.
Tiba-tiba sebelum sidang media berlangsung, kelihatan seorang ahli politik bersongkok datang melawat memberikan sidang media tidak rasmi kepada media.
Tidak mahu saya sebutkan nama, tapi ini antara ayat ahli politik ini:"Saya tidak faham, kenapa ahli keluarga mangsa perlu dibawa ke hotel berkumpul ramai-ramai, kemudian ditenteramkan oleh pegawai bertugas MAS. Kalau saya, duduk rumah diam-diam."
Saya tidak mahu tegur lebih, saya rasa pembaca boleh bayangkan tahap pemikiran pemimpin ini.
Ketua APMM masih dalam perjalanan, bilik sidang media sudah penuh.
Semua sedang tunggu.
Daripada perbualan saya dengan pegawai media dan beberapa anggota APMM mereka berharap sangat drama ini berakhir dengan cepat, tanda tanya dan seribu persoalan nasib penumpang MH370 masih tidak terjawab.
Dalam perbualan kosong itu, pegawai media ini tiba-tiba memberitahu saya.
"Kalau sah ujian minyak itu adalah milik MH370, ia mungkin sedikit sebanyak merungkai dan menjadi petunjuk besar dalam misi pencarian kali ini."
Itu antara harapan beliau, tapi harapan seluruh rakyat Malaysia dan dunia lebih besar, mudah-mudahan penumpang terselamat dan ditemui di lokasi tertentu.
Tapi, selepas lebih 60 jam, tanda tanya dan misteri kehilangan MH370 belum terjawab.
#prayforMH370
Artikel ini ditulis oleh Md Izwan , wartawan The Malaysian Insider.
Beliau berkicau di @izwan_noborders.
sampai arini belum ade solution kan? hadoiii
ReplyDeleteye,malah semua orang mula hilang sabar apatah lagi waris2 mangsa
Delete