0
Selepas pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri, adik kepada perdana menteri, Datuk Seri Nazir Razak memilih untuk bernostalgia bagaimana saat-saat akhir abangnya, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra dengan timbalannya ketika itu.



Memuat naik gambar di Instagram hari ini, pengerusi CIMB Group Bhd itu mengimbau suasana pertemuan Muhyiddin dan Najib di program anjuran kumpulan bank itu baru-baru ini.

“Sesuatu untuk buku sejarah (tidak sedar) tuan rumah untuk last supper (acara terakhir bersama) mereka,” tulis Nazir di samping gambar tersebut.

Gambar tersebut memperlihatkan Najib, Muhyiddin dan Nazir sendiri berada di meja makan sambil dikelilingi jurugambar dan pengawal peribadi.

Najib kelihatan sedang ketawa bersama Rais dan Nazir, manakala Muhyiddin hanya tersenyum seperti mana dalam gambar tersebut.

Gambar yang dimuat naik oleh Nazir itu mungkin menggambarkan beliau sendiri tidak menyangka pertemuan kedua pimpinan tertinggi Umno itu adalah yang terakhir Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri.

Pertemuan itu berlaku sehari sebelum Najib menggugurkan Muhyiddin dalam barisan kabinet dan sebagai timbalan perdana menteri.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan persekitarannya dan suasana pertemuan itu sama sekali berbeza daripada hari sebelumnya (di rumah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi).

Najib dan Muhyiddin tiba kira-kira pada masa yang sama, sekitar jam 8.30 malam dan disambut dengan mesranya oleh Nazir ketika mereka menunggu ketibaan tetamu kehormat, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Kedua-dua pemimpin itu dilihat berjabat tangan dan tersenyum menghadap lensa kamera.

Najib meninggalkan majlis itu sekitar jam 9.15 malam ketika para tetamu lain bergaul dan berbual sesama mereka, termasuk Muhyiddin yang dilihat bersama ahli Parlimen DAP Tony Pua - yang juga salah seorang pengkritik kuat 1MDB.

Muhyiddin meluangkan masa kira-kira satu jam berbual dengan sultan Perak dan tetamu lain manakala kakitangan media berlegar di tempat rumah terbuka itu, di sebuah dewan hotel.

Post a Comment

 
Top