Makhluk Halus Dari Gunung Jerai Menumpang Di Pokok Buluh SMK Pokok Sena
POKOK SENA: Sesi persekolahan Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena (SMKPS) menjadi kecoh, semalam, apabila beberapa pelajarnya diserang histeria.
Menurut sumber, histeria berlaku sejak kelmarin, apabila beberapa pelajar asrama dikatakan diserang hingga terpaksa mendapatkan rawatan.
Berikutan serangan itu berterusan hingga semalam, waris pelajar dipanggil untuk membawa anak masing-masing pulang.
Pelajar dikenali sebagai Aishah, 17, berkata, kejadian bermula kira-kira jam 1 petang apabila seorang pelajar tingkatan empat mula dirasuk.
Berikutan kejadian itu, seorang guru mencabar makhluk terbabit menyebabkan beberapa pelajar perempuan turut diserang histeria.
“Suasana jadi kelam kabut… pelajar perempuan yang kena rasuk menjerit hingga sukar dikawal dan terpaksa dibawa ke dalam surau sekolah.
“Malah, pelajar lain yang cuba membantu turut dirasuk menyebabkan mereka yang lain tidak berani memberi bantuan,” katanya.
Menurutnya, tidak lama selepas kejadian itu, beberapa pelajar perempuan dari kelas lain turut dirasuk.
“Mereka menjerit-jerit menyebabkan sesi pembelajaran pada waktu itu terpaksa dihentikan dan guru dapat membantu pelajar yang diserang histeria,” katanya.
“Kejadian histeria pernah jadi di sekolah ini, tapi taklah begitu serius hingga menyebabkan sesi pembelajaran terganggu seperti yang berlaku hari ini (semalam),” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKPS, Yusuf Ishak berkata, histeria itu menyebabkan kira-kira 30 pelajar perempuan terpaksa mendapatkan rawatan pulih semangat.
Menurutnya, peristiwa serangan histeria bermula setelah beberapa pelajar merosakkan pokok buluh yang ada dalam kawasan sekolah berkenaan.
“Pokok buluh itu kononnya menjadi tempat persinggahan makhluk itu yang dikatakan berasal dari Gunung Jerai.
“Kita hantar seorang ahli jawatankuasa yang juga pengamal perubatan Islam bagi membantu guru memulihkan kembali semangat pelajar sekolah berkenaan,” katanya.
Katanya, histeria itu turut berjaya dikawal dengan bantuan beberapa guru dan pelajar yang membaca surah Yasin dalam surau.
“Saya berharap ibu bapa tidak perlu risau kerana pengurusan sekolah akan berusaha mengatasi masalah itu secepat mungkin,” katanya.
Difahamkan, pelajar yang diserang histeria dibawa ke surau untuk dipulihkan semangat dan waris semua pelajar asrama dipanggil untuk membawa pulang anak masing-masing selepas kejadian berkenaan.
Post a Comment