MANAMA - BAHRAIN. Seekor kucing yang dicat dengan warna merah jambu dan dijemur di bawah panas matahari diselamatkan oleh seorang remaja di sebuah pasar di sini.

Memetik laporan Mirror.uk, anak kucing yang diberi nama Pinky itu dijumpai oleh Bilal Aslam di Pasar Isa Town.

Perbuatan mewarnakan kucing itu mendapat kritikan oleh netizen dan turut mendapat perhatian oleh organisasi perlindungan haiwan selepas dimuatnaik ke laman Facebook oleh Aslam.

Organisasi kebajikan haiwan SPCA menyelamatkan kucing itu dan kini sedang diletakkan dibawah jagaan pusat perlindungan haiwan.

Pengerusi SPCA, Mahmood Faraj berkata, kucing itu telah menjalani pemeriksaan veterina dan menurut doktor yang merawatnya, kucing tersebut mengalami alahan akibat cat yang digunakan untuk mewarnakan kucing itu.

"Tugas seterusnya adalah membuang pewarna pada badan kucing itu yang akan mengambil masa yang lama untuk mengembalikan kepada warna asalnya," katanya.

Sementara itu, Aslam memberitahu Gulf Daily News, pemilik gerai di pasar itu mungkin menggunakan cat dinding pada kucing itu.

"Ketika ditemui, terdapat bau cat pada badan kucing itu malah kucing itu juga ia juga kelihatan sakit.

" Tiada makanan diberikan kepada kucing itu, hanya sedikit air sahaja diletakkan kepada kucing itu," katanya.