Jemaah Singapura Cerita Detik Cemas Kren Jatuh Di Mekah
MECCA: Pihak berkuasa Arab Saudi sudah memulakan siasatan terhadap kejadian kren terbalik di Masjidil Haram, yang berlaku ketika hujan dan ribut kuat semalam. Sekurang-kurangnya 107 orang terkorban dan 230 cedera.
Salah seorang jemaah Singapura yang dihubungi, Encik Khairudin Dawi berada di Masjidil Haram ketika kejadian berlaku.
"Selepas solat masjid, saya lihat dengan mata saya sendiri ada orang kaki patah, ada yang berlumuran darah. Jadi, saya lihat lebih dekat lagi selepas Maghrib, saya dapat tahu ada kren jatuh dan menimpa jemaah-jemaah. Jadi, kawasan Kaabah telah dikepung," ujar Encik Khairudin.
Kejadian itu berlaku semasa ribut pasir, sehingga menyebabkan keadaan kelam kabut di kawasan Masjidil Haram.
Seorang lagi jemaah Singapura, Cik Norsiah Ismail berserta beberapa jemaah lain menyaksikan sendiri tiupan ribut pasir yang kencang dari tempat perlindungan mereka di bangunan berdekatan dengan kejadian.
"Serta merta angin kencang. Memang kencang. Saya dah agak ini ribut pasir. Hadangan semua berterbangan, semua berjalan sendiri. Jadi, kita semua tarik anggota kumpulan dari keluar, takut sesak," ujarnya,
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, semasa ditemui di luar sebuah acara siang tadi turut mengulas tentang kejadian tersbeut dan memberi jaminan pihak-pihak berkepentingan sedang memantau keselamatan jemaah Singapura.
"Jadi, di sini dengan ada pegawai MUIS di sana, mereka telah bekerjasama dengan para GSA. Oleh kerana kita tahu di Masjidil Haram, kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan dan kalau kejadian tidak diinginkan berlaku, kita boleh bekerjasama bukan hanya dengan pihak kita, tetapi juga dengan pihak Saudi bagaimana kita boleh mengelakkannya semua," kata beliau.
Sementara itu, 10 jemaah haji Malaysia dilaporkan cedera, manakala enam lagi masih belum dapat dikesan.
Jemaah haji Indonesia yang menjadi mangsa kejadian kren tumbang di Masjidil Haram pula mencecah 33 orang, jumlah tertinggi di kalangan negara Asia Tenggara.
Post a Comment