0
Wanita ditanduk lembu korban:




                               Wanita ditanduk lembu korban


George Town
– Tindakan dua penduduk ‘mengusik’ lembu korban di Kampung Lembah Permai, Tanjung Bungah, menyebabkan mereka cedera ditanduk haiwan itu, petang semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa wanita berusia 31 tahun dilaporkan tidak sedarkan diri selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan terpaksa dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurut penduduk kampung dikenali sebagai Razak, 30-an, ketika kejadian, lembu berkenaan ditambat di kawasan padang berdekatan dan beberapa penduduk mengerumuni haiwan itu.

Katanya, seorang wanita kemudian dilihat cuba memberi makanan tetapi lembu itu secara tiba-tiba menjadi berang menyebabkan penduduk kampung bertempiaran lari.

“Lembu korban yang naik minyak kemudian menyerang seorang wanita dan lelaki yang berdiri berdekatan sementara beberapa penduduk lain sempat melarikan diri.

“Wanita berkenaan mengalami kecederaan teruk akibat ditanduk pada bahagian kepala, manakala lelaki terbabit mengalami kecederaan pada bahagian badan tetapi tidak serius,” katanya.


Penduduk kampung kemudian bertindak menyelamatkan kedua-dua mangsa dan menghubungi ambulans bagi membolehkan mereka mendapat rawatan kecemasan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit yang dibuat anggota pondok polis di HPP.

“Setakat ini, wanita terbabit dilaporkan masih tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di HPP manakala lelaki berusia 45 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berada dalam keadaan stabil.

“Pemeriksaan juga mendapati wanita itu bukan berasal dari kampung itu, manakala lelaki berkenaan adalah pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU),” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH Online.

Post a Comment

 
Top