5
WANITA berusia 44 tahun ini menyeluk sesuatu di dalam sebuah beg yang cliletakkan di atas katil.

Ah! Wanita tadi lantas mengeluarkan seutas rantai berloket dan sehelai kain kuning.

“Inilah yang saya nak tunjuk,” beritahu wanita berdarah campuran Melayu, Siam dan Arab yang dipanggil Kak Ani kepada Mastika.



Rantai berloket tadi dihulur. Terdapat sebuah patung dengan tangan seperti melambai-lambai yang dimasukkan ke dalam sebuah bekas khas dijadikan loket.

 “Orang Siam panggil Lam Kuak. Maksudnya Lambaian Puteri,” beritahu Kak Ani mengenai keunikan loket tersebut. Kak Ani juga memberitahu dia kini merupakan salah seorang pembekal patung Lam Kuak kepada wanita yang berminat.

 Apa guna loket patung Lam Kuak ini? Kak Ani tersenyum sambil memberitahu: “Patung Lam Kuak ni banyak gunanya, istimewa digunakan para isteri untuk tundukkan suami!”

Oh begitu! Terkejut Mastika mendengar pengakuan Kak Ani. Patung Lam Kuak sebesar ibu jari lengkap dengan rantai itu dijual pada harga RM600 setiap seutas. “Patung ni mendapat permintaan tinggi dari isteri-isteri VIP, orang biasa, pondan, pelacur dan sebagainya.



 Semuanya untuk menarik perhatian atau mengikat hati suami. Isteri VIP takut suami lari ikut perempuan lain,” terang Kak Ani tanpa teragak-agak.

Mastika mendapat tahu khasiat patung tersebut sama seperti penggunaan minyak dagu atau minyak pengasih yang sering digunakan golongan lelaki. Bezanya patung tadi digunakan oleh golongan wanita. Patung wanita dengan tangan seolah-olah melambai itu dibekalkan khas oleh rakannya dari Thailand.

 “Patung yang sampai ini kosong, tak ada apa-apa. Tapi bila ada orang nak, baru Kak Ani puja dan memasukkan ‘isi’ ke dalam patung ni.

“Kak Ani puja tiga malam jumaat berturut-turut. Kak Ani hanya perlu nama penuh orang yang hendak dipuja. Selepas masukkan isi, rantai itu boleh dipakai,” jelas Kak Ani.

Patung Lambaian Puteri yang siap diisi dengan semangat itu kemudiannya akan dimasukkan ke dalam bekas khas dan dipasang dengan rantai sebelum dijual. Sehingga kini sudah lebih seribu tangkal pengasih tersebut berjaya dijualnya terutama kepada pelanggan wanita Melayu beragama Islam.

 Wanita ini mendakwa apabila seseorang itu memakai rantai patung Lam Kuak, apa yang diinginkan mudah tercapai. Pemakaiannya juga mempunyai pelbagai khasiat istimewa terutama sebagai penambat kasih dan membuatkan lelaki tergila-gilakan si pemakai.

“Kalau dia nak pikat suami, suaminya akan tertarik kepadanya. Kalau pelacur, GRO atau pondan guna pula untuk tarik pelanggan,” jelas Kak Ani yang mempelajari ilmu Siam ini daripada arwah ibunya. Namun begitu si pemakai rantai ini turut mempunyai pantang larang yang perlu dipatuhi.

“Sesiapa pakai dilarang berjalan di bawah ampaian kain. Sekiranya pantang larang ini dilanggar khasiat patung tersebut akan lenyap.

Pulangkan semula patung ni kepada Kak Ani untuk diisi semula khasiatnya,” beritahu Kak Ani.

 Kenapa tidak boleh berjalan bawah ampaian?

Lalu Kak Ani bercerita kisah asal usul Puteri Lambaian. Kisah itu diceritakan oleh nenek moyangnya. Menurut ceritanya, Puteri Lambaian merupakan anak kepada seorang yang berpengaruh ketika itu di Siam. Malah dia seorang puteri yang amat cantik.

 Suatu hari, ketika hujan mula turun si ibu berpesan pada anaknya itu supaya mengangkat kain di jemuran. Tapi puteri ini angkat lambat.

Bila hujan makin lebat disusuli angin kencang baru puteri ini hendak mengangkat kain. Sedang angkat kain tiba-tiba tali ampaian terputus dan terbelit pada leher Si puteri tersebut dan akhirnya mati akibat terjerut.

Semasa mati, ahli keluarganya melihat segala jenis ilmu di tubuh puteri ini terbang naik ke langit. “Selepas kejadian itulah keluarga dan orang kampung yang bersedih dengan kematian puteri mengukir patung wajahnya.

Tangkal ini adalah wajah puteri itulah. Sebab itulah pemakai dilarang berjalan di bawah ampaian,” jelas Kak Ani serius.

 Kak Ani juga mengingatkan si pemakai agar patung puteri ditanggalkan apabila mengerjakan solat. “Bukan apa, tak elok sebagai umat Islam, sembahyang bawa patung,” jelas Kak Ani mengakhiri perbualan.

Bukankah memakai rantai patung tersebut boleh memesongkan akidah seseorang? Jatuh syirik!

Kak Ani mengaku dia tidak berniat untuk memesongkan akidah umat Islam tetapi kaedah ini merupakan salah satu cara untuk menolong mereka yang dalam kesusahan. “Kak Ani nak bantu orang saja. Kalau tak nak guna patung, Kak Ani boleh buat guna minyak ilmu pengasih. Tak nak berubat cara Siam, Kak Ani boleh guna cara Sakai atau Jawa.

“Tak pun guna kain bergambar patung Lambaian Puteri ni,” beritahu Kak Ani sambil menunjukkan sehelai kain segi empat berwarna kuning tertera gambar patung Lambaian Puteri.

Kain kuning terebut juga sama khasiatnya tetapi lebih kepada pelaris perniagaan, pendinding diri atau mengelakkan duit kering.

 “Selepas Kak Ani masukkan ‘isi’, simpan dalam dompet. Nanti duit tak akan kering!” beritahu Kak Ani penuh yakin.

Kak Ani memberitahu apa yang penting adalah niat dan tujuan si pemakai. “Kalau niatnya baik, baiklah jadinya. Tapi kalau si pemakai berniat jahat iaitu niatnya tak sama ketika beritahu Kak Ani, khasiat patung ni akan hilang.

 Jadi tawar. Kalau orang lain curi dan pakai juga khasiat patung ni tak berkesan. Dia hanya berkesan pada pemilik saja,” Kak Ani memberi penjelasan.

 Sebenarnya bukan setakat rantai patung tersebut yang dibekalkan Kak Ani tapi banyak lagi khidmat yang ditawarkannya.

 “Kak Ani ada buat mandian pengantin untuk naikkan seri pengantin, buang saka, santau, pulihkan dara, atau nak jinakkan anak pun boleh.

“Kalau nak jinakkan anak, selepas lahir simpan tali pusatnya. Selepas tu bawa datang jumpa Kak Ani. Kak Ani akan buat. Nanti anak akan ikut cakap kita.

Anak tak melawan,” beritahu Kak Ani lagi.

 Wah! Wah! Nampaknya lelaki hari ini perlu berhati-hati. Wanita kini menggunakan secara halus untuk menundukkan ego lelaki. Patutkah lelaki ditunduk secara halus begitu? Lagi satu yang tambah memelikkan mengapa agaknya ramai wanita Melayu kita masih percaya kepada tangkal, patung dan sebagainya berbanding berdoa untuk kerukunan rumah tangga?


 © Mastika April 2011

Post a Comment

  1. Main patung-patung ni ,tak mau lah. Takut jatuh ke syirik.

    ReplyDelete
  2. akak pun takut main2 patung ni,tapi kalau kertas kaler kuning pernah dapat...dia antar melalui pos..bila tgk pic budha cepat2 buang..apa la..

    ReplyDelete
  3. Cmne kak Sy nk jmp org tue ni? Mslh Sy ni dah berat sgt2..

    ReplyDelete
    Replies
    1. akak pun tak tahu bagaimana nak hubungi beliau,,,cuba hubungi Mastika utk dapatkan no pohne kak Ani,tapi akak rasa cubalah cara lain yang tidak bertentangan dgn akidah umat Islam

      Delete

 
Top