0
Pekerja bantuan terserempak dengan Marwan berhampiran sempadan di Syria dan Jordan. Dia mengenakan baju Nike merah, jaket serta berseluar panjang, dan membawa sebuah beg plastik merah yang diisi dengan barang-barangnya. 


Pekerja UNHCR membantu Marwan (dua dari kanan) ketika dijumpai berjalan sendirian di tengah padang pasir di Syria.

Damsyik: Seorang budak lelaki berusia empat tahun ditemui berjalan sendirian di tengah padang pasir di Syria selepas terpisah daripada keluarganya ketika melarikan diri daripada perang saudara di negara mereka. 


Gambar menyayat hati yang dirakamkan pada Ahad lalu oleh wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Andrew Harper merakamkan saat pekerja PBB bertemu budak lelaki terbabit yang bersendirian. 

Tidak dapat dipastikan bagaimana dia terpisah daripada keluarganya ketika mereka melarikan diri dari perang yang melanda Syria dan menyebabkan berjuta penduduk lain hilang tempat tinggal. 


Bertemu ibunya semula 

“Sekadar memaklumkan kepada anda Marwan selamat bertemu semula (dengan) ibunya sebaik saja selepas dibawa merentasi sempadan Jordan,” kata wakil pesuruhjaya tinggi bagi pelarian PBB di Jordan, Harper, yang menulis di Twitter. 

Nota terbabit adalah berikutan rakaman gambar yang menunjukkan seorang pekerja bantuan membawa seorang budak lelaki, manakala pekerja lain datang memberi bantuan kepada budak lelaki itu. 

Marwan adalah antara wajah kesengsaraan di Syria yang membabitkan lebih satu juta kanak-kanak dengan 425,000 daripadanya berusia di bawah lima tahun hilang tempat tinggal. 

“Perjalanan merentasi padang pasir boleh mengambil masa sehari atau beberapa minggu,” kata jurucakap UNHCR, Andrej Mahecic. 

“Ia amat berbahaya kerana masih ada peperangan berterusan dan di tengah musim sejuk jadi ia mungkin terlalu sejuk pada waktu malam. 

“Perjalanan berkenaan amat panjang dan meletihkan, jadi mustahil bagi seorang kanak-kanak berusia empat tahun merentasi padang pasir bersendirian. Kami rasa Marwan mungkin sesat ketika tengah malam. Sehingga kini kami belum mengetahui apa-apa.” 

- AGENSI

Post a Comment

 
Top