SELAMAT datang ke Penerbangan Malaysia!!! Welcome to Malaysia Airlines!!! Sapaan penuh ramah dan mesra daripada pramugara serta pramugari pesawat Malaysia Airlines (MAS) menyebabkan Vijaya Rani Sellapa, 30-an, berasa teruja dan dialu-alukan untuk menaiki pesawat tersebut.
Dengan langkah ceria, Pegawai Komunikasi Korporat sebuah syarikat penyiaran swasta tersebut memasuki ruang kabin sambil matanya ligat mencari tempat duduk mengikut nombor dan abjad yang tertera pada tiket penerbangannya.
Dalam keterujaan itu, tiba-tiba Vijaya berasa dirinya berdepan masalah untuk meletakkan beg di ruang simpanan bagasi yang jauh dari jangkauannya.
Belum sempat pun Vijaya memikirkan masalahnya itu, tanpa disedari datang seorang anak kapal menghampirinya lalu menghulurkan bantuan mengangkat beg yang agak berat itu ke ruang simpanan bagasi.
Kemudiannya dengan mesra dan senyuman, anak kapal itu memberi laluan bagi membolehkan Vijaya memasuki ruang tempat duduknya.
Layanan mesra dan kualiti perkhidmatan seumpama itu menyebabkan Vijaya sering memilih pesawat MAS untuk penerbangan ke luar negara.
"Penerbangan MAS mempunyai hospitaliti yang sangat bagus bahkan anak-anak kapalnya sentiasa bersopan santun, peka dan membantu para penumpang agar memperoleh keselesaan ketika berada dalam pesawat.
"Malah, mereka tidak pernah bermasam muka dengan pelbagai kerenah bahkan begitu ringan tangan untuk membantu para penumpang termasuk mengangkat bagasi yang berat," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Berpuas hati
Vijaya yang sering ke luar negara seperti India, Sri Lanka, Singapura, Jakarta dan Australia berkata, pengalamannya sejak kecil lagi bersama keluarganya menaiki MAS untuk penerbangan ke India menyebabkan dia terus memilih pesawat tersebut sehingga ke hari ini.
ANAK-ANAK kapal pesawat Malaysia Airlines mempunyai kredibiliti tersendiri daripada kaca mata rakyat Malaysia.Katanya, meskipun menempuh perjalanan yang memakan masa panjang, dia berpuas hati dengan segala layanan yang diberikan dalam tempoh tersebut.
"Misalnya, selepas makan dalam pesawat, biasanya saya akan minum minuman panas dan saya kerap kali membuat permintaan daripada anak-anak kapal untuk minuman itu dan mereka tidak pernah merungut.
"Malah, ada dalam kalangan pramugari turut membantu membancuh air susu untuk penumpang bayi dalam penerbangan berkenaan jika ada ibu yang meminta bantuan," ujarnya.
Selain itu kata Vijaya, juruterbang MAS juga sentiasa memberi maklumat dan pengumuman dengan suara yang jelas dan berkeyakinan sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris ketika penerbangan menyebabkan para penumpang berasa selamat menaiki pesawat tersebut.
Pada masa sama, sikap bertanggungjawab dan peka anak-anak kapal juga harus diberi pujian. Jika ada berlaku kes kecemasan semasa penerbangan, mereka akan bertindak dengan pantas tanpa menimbulkan rasa cemas dalam kalangan penumpang.
"Pernah terjadi dalam satu penerbangan saya, seorang penumpang tiba-tiba diserang penyakit jantung, lalu dengan pantas anak-anak kapal mengalihkannya ke ruang kelas pertama untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
"Meskipun dalam situasi berkenaan, anak-anak kapal masih mengutamakan keselamatan dan keselesaan penumpang-penumpang yang lain walaupun terpaksa memberi tumpuan kepada pesakit tadi," ujarnya.
Bagi Ketua Komunikasi Korporat Menara Kuala Lumpur (MKL), Eliey Sahad, 39, dia berasa sangat selamat dan yakin dengan kemampuan penerbangan MAS untuk ke mana-mana destinasi sama ada di dalam atau ke luar negara.
Menurutnya, perasaan tersebut lahir secara semula jadi apabila melihat anak-anak kapal MAS yang cekap menjalankan tugas masing-masing memandangkan mereka begitu terlatih dan profesional.
Ikon penerbangan
"Anak-anak kapalnya terlatih malah mempunyai kelas tersendiri dan krew MAS adalah yang terbaik di dunia.
"MAS telah lama beroperasi di negara ini dan sudah menjadi ikon penerbangan bukan hanya dikenali di peringkat nasional sahaja bahkan antarabangsa," katanya yang sering berurusan di luar negara.
Perasaan bangga dan terharu turut terdetik di hati Eliey, apabila melihat pesawat yang tertera nama Malaysia mendarat di lapangan terbang negara asing.
"Setiap kali pesawat MAS mendarat di lapangan terbang di luar negara, semangat dan rasa patriotik itu hadir dalam diri meskipun jauh dari tanah air," ujarnya yang kali terakhir menaiki penerbangan MAS pada bulan lalu.
Sementara itu, bekas juruterbang MAS, Kapten Dawek Sabeli memberitahu, kepercayaan orang ramai terhadap penerbangan MAS tetap utuh walaupun dipalit misteri kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu yang masih menjadi tanda tanya.
Dawek, 68, menegaskan, MAS cukup dikenali sebagai salah sebuah syarikat penerbangan yang berada dalam kelas tersendiri dan telah beroperasi sejak 1947.
Beliau yang berpengalaman lebih tiga dekad sebagai juruterbang serta dua tahun sebagai pramugara MAS (dahulunya dikenali Malaysia-Singapore Airlines) sememangnya cukup masak dalam dunia penerbangan serta sangat mengenali bekas majikannya itu.
"MAS sangat menitikberatkan disiplin dalam kalangan kakitangannya terutama kepada para juruterbang.
"Para juruterbang MAS juga sangat dikenali di seluruh dunia, malah ramai juga bekas juruterbang syarikat itu dilamar syarikat penerbangan gergasi dunia yang lain seperti Etihad Airways, British Airways dan lain-lain," katanya.
Kata bapa kepada enam anak itu, memandu kapal terbang tidaklah sesukar memandu kenderaan lain kerana semua sistem di dalam kokpit kapal terbang sudah diselaraskan dengan komputer.
Dia yang berpengalaman membawa kapal terbang lebih 20,000 jam itu memberitahu, jika seseorang juruterbang mematuhi segala prosedur dan arahan, kejadian buruk tidak akan berlaku.
Dawek yang dilahirkan di Kampung Gedong, Simunjan, Sarawak bermula dengan menerbangkan pesawat kecil Fokker Friendship 27. Sebelum bersara, dia membawa pesawat Boeing 747.
Selepas bersara, dia menyertai dunia penerbangan korporat dengan menjadi juruterbang di Hornbill Skyways dan membawa jet eksklusif, Cessna Citation X kemudian menjadi tenaga pengajar di GIFFA International College of Aviation.
Dalam pada itu, Dawek yang berkhidmat sebagai juruterbang MAS sejak tahun 1975 hingga 2005 itu memberitahu, kejadian kehilangan MH370 itu tidak menggugat kredibiliti MAS yang cukup terkenal di seluruh dunia terutama di Asia Timur.
"Syarikat penerbangan negara ini juga sangat tegas dan tiada peluang kedua buat juruterbangnya yang melakukan kesalahan dan akan terus memecat mereka.
"Cuma, akan timbul perasaan takut dalam hati para penumpang untuk menaiki kapal terbang selepas ini bukan sahaja menaiki MAS tetapi semua kapal terbang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Petra Jaya, Kuching, Sarawak baru-baru ini.
Post a Comment