KUALA LUMPUR – Para penyiasat kini percaya bahawa sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) telah dikemudikan oleh seseorang yang berkemahiran tinggi bagi mengelak pergerakan kapal terbang itu dikesan radar, kata seorang pegawai kanan tentera Malaysia kepada agensi berita AFP semalam.
Radar tentera Malaysia menunjukkan pesawat Boeing 777-200 itu telah mengubah arah semasa dalam penerbangan ke Beijing, China dan ia dipercayai menuju ke arah Lautan Hindi.
“Dia (juruterbang itu) seorang yang berkemahiran tinggi, cekap dan merupakan seorang juruterbang.
“Juruterbang itu mengetahui cara untuk mengelakkan pesawat itu dikesan radar. Dia telah membuat kajian tentang cara untuk mengelakkan pesawat itu dikesan (radar),” kata pegawai tersebut yang enggan namanya disiarkan.
Rumusan itu dibuat selepas agensi berita AP melaporkan kelmarin bahawa satelit Inmassat menerima lima atau enam isyarat ’ping’ atau denyut elektronik selama empat jam dari pesawat tersebut
Akhbar Washington Post melaporkan, transponder pesawat itu yang menerima isyarat dari menara kawalan dimatikan 30 minit selepas berlaku komunikasi suara terakhir dari kokpit MH370.
Komunikasi dari pesawat itu ialah: “Baiklah, selamat malam.”
Agensi berita AFP melaporkan, seorang pensyarah penerbangan di Politeknik Temasek, Singapura Paul Yap menyatakan terdapat dua keadaan yang boleh menyebabkan transponder itu dimatikan.
“Pertamanya, orang yang terlibat menutup transponder itu dengan sengaja ialah iaitu juruterbang dan orang yang bersengkokol dengannya.
“Kita turut berdepan dengan senario apabila para pengganas memaksa juruterbang itu mengubah arah haluan dan menutup transponder ketika dures (ancaman). Pengganas itu mungkin mengancam untuk membunuh penumpang,” katanya.
Beberapa penganalisis berkata, transponder MH370 ditutup ketika pesawat itu berada pada paras altitud penerbangan yang membolehkan juruterbang pergi ke tandas atau menikmati minuman kopi.
Menurut akhbar New York Times, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbarnya semalam menyentuh tentang kawasan komunikasi terakhir antara pesawat itu dengan satelit.
Najib berkata, komunikasi kali terakhir antara pesawat itu dengan sebuah satelit mungkin berlaku di laluan koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand.
Komunikasi terakhir pesawat dengan satelit itu juga mungkin berlaku di laluan koridor selatan dari Indonesia sehingga ke selatan Lautan Hindi.
Menurut Najib, pasukan penyiasat sedang berusaha untuk memperhalusi lagi maklumat ini.
Namun, akhbar itu melaporkan lalun koridor utara itu terletak berhampiran kawasan yang dianggap paling bergolak di dunia dan menempatkan kumpulan-kumpulan pemberontak.
Namun, laluan tersebut juga mempunyai rangkaian pertahanan udara yang dikendalikan tentera AS.
Laluan koridor utara itu turut meliputi Iran, Afghanistan, utara Pakistan, utara India, banjaran Himalaya dan Myanmar
Bagaimanapun, koridor utara itu mempunyai beberapa buah pangkalan tentera milik AS dan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan yang wujud sejak lebih sedekad lalu.
Sebuah angkalan tentera yang terdapat berhampiran koridor utara itu adalah di Bagram, Afghanistan milik tentera AS.
Akhbar itu melaporkan laluan koridor selatan yang dinyatakan Najib itu bermula dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
BEBERAPA anggota Pengawal Pantai Jepun memeriksa tayar sebuah pesawat yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Subang, Kuala Lumpur untuk mencari pesawat MH370 di Laut China Selatan semalam. - Reuters
Transponder
Menurut laporan akhbar tersebut, jika pesawat berkenaan melalui koridor selatan, ia akan melintasi kawasan dekat Kepulauan Cocos milik Australia.
Kepulauan kecil yang mempunyai penduduk kurang 1,000 orang itu mempunyai sebuah lapangan terbang kecil.
Justeru, seorang pengasas perkhidmatan pengesan global Flightradar24, Mkael Robertson menyatakan, cara komunikasi pesawat itu diputuskan menunjukkan terdapat penglibatan seseorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang penerbangan dan mengetahui laluan udara.
Menurut Robertson kepada akhbar tersebut, kepakaran penerbangan itu kemungkinan dimiliki oleh seorang kru pesawat.
Beliau berkata, signal transponder yang ditutup bagi mengelak pesawat tersebut dikesan radar selepas ia berlepas dari lapangan terbang menunjukkan terdapat seseorang yang sengaja melakukan perbuatan itu untuk sesuatu tujuan.
Akhbar New York Times melaporkan, seorang individu yang telah mendengar taklimat berhubung perkembangan siasatan pesawat tersebut menyatakan, kotak komunikasi yang terdapat di dalam pesawat MH370 itu merupakan generasi lama yang tidak dilengkapi dengan sistem kedudukan sejagat (GPS).
Seramai 153 penumpang dalam pesawat itu ialah warga China.
Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 kru itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.40 pagi.
Komunikasi kali terakhir kapal terbang tersebut dengan menara kawalan trafik awam adalah pada pukul 1.21 pagi.
Kehilangan pesawat itu kemudian mencetuskan misteri kerana tiada serpihan badan Boeing 777-200 yang ditemui di Laut China Selatan dan Selat Melaka selepas operasi mencari kapal terbang berkenaan dilancarkan dengan melibatkan beberapa buah negara sejak 8 Mac lalu.
Pesawat itu dipandu juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid, 27.
Dua penumpang Iran dikenal pasti menggunakan pasport curi yang menaiki pesawat itu ialah Pouri Nour Mohammadi, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Reza, 29.
Pouri menggunakan pasport Austria manakala Delavar menggunakan pasport Itali yang telah dicuri di Thailand.
Penumpang lain yang menaiki pesawat itu ialah 38 warga Malaysia, tujuh orang penduduk Indonesia, enam warga Australia, lima warga India, empat rakyat Perancis, tiga warga AS dan dua warga New Zealand.
Turut menaiki pesawat MH370 ialah dua warga Ukraine, dua warga Kanada, Rusia (1), Taiwan (1) dan Belanda (1). – Agensi
Post a Comment