0
Prahlad Shirsath dan isterinya, Kranti telah mendirikan rumahtangga selama 17 tahun tetapi mereka hidup terpisah sejak hampir tiga tahun lalu. Prahlad mendapat tawaran bekerja dengan sebuah NGO di Korea Utara.



Dia meninggalkan isterinya dan dua anak mereka yang sedang menganjak remaja di Pune, India.

Prahlad mempunyai satu kecintaan yang cukup murni. Dia mahu membebaskan warga dunia daripada kemiskinan dan mengangkat taraf hidup mereka agar jadi lebih sempurna.

Itulah kerja yang sebati dengan jiwanya. Dia pernah bekerja dengan BAIF Development selama lima tahun; pernah juga bekerja dengan Oxfam International di Afghanistan dan Tajikistan, pernah juga bertugas di Indonesia dan sekarang bekerja dengan Concerned Worldwide di Korea Utara sejak tiga tahun lalu.

Di Korea Utara, kerjanya antara lain memastikan rakyat miskin di republik komunis itu mendapat bekalan air bersih. Kontrak Prahlad dengan Concerned Worldwide sepatutnya berakhir pada 1 April ini dan dia sudah bercadang untuk pulang ke India. Dia tidak lagi mahu hidup merantau.

Dia tidak lagi mahu berulang-alik balik kampung dua atau tiga bulan sekali. Dia mahu tinggal dengan keluarga dan melihat anak-anaknya, Rahul dan Yashwant membesar di depan mata. Rahul berumur 16 tahun; Yashwant 11 tahun.

Tetapi Prahlad mempunyai cuti yang agak panjang sebelum kontraknya tamat. Kranti yang pernah mengikut Prahlad ke Korea Utara setuju untuk menghabiskan masa dengan suaminya serta bertemu dengan kenalan mereka di sana.

Selepas itu, mereka akan pulang ke India untuk kembali hidup bersama sebagai sebuah keluarga. Kranti seorang pensyarah kimia. Dia mengajar di sebuah kolej di Pune selama 10 tahun sebelum berhenti empat tahun lalu untuk jadi suri rumah sepenuh masa.

Kranti menaiki pesawat dari Mumbai ke Kuala Lumpur untuk menyambung penerbangan dengan pesawat Malaysia Airlines ke Beijing pada awal pagi Sabtu 8 Mac lalu. Dari Beijing, Kranti akan menaiki pesawat lain ke Pyongyang.


Tetapi pesawat itu tidak mendarat di Beijing mengikut jadual pada pukul 6.30 pagi pada hari yang sama. Tidak ada siapa yang tahu ke mana pesawat itu menghilang. Tidak ada siapa yang tahu untung nasib Kranti dan 238 orang lain yang menaiki penerbangan MH370 itu.

Selepas mendapat berita yang mengejutkan itu, Prahlad menaiki keretapi ke Beijing dan kemudian datang ke Kuala Lumpur. Selepas empat hari tidak ada khabar berita tentang pesawat MH370 dan nasib isterinya, dia terbang ke pulang ke Pune untuk bersama dengan dua anaknya serta ahli keluarga yang lain.

“Selain tidak ada maklumat tentang pesawat, apa yang lebih menyakitkan ialah teori konspirasi," katanya yang pulang ke Pune pada Rabu.

Dalam hatinya, Prahlad cukup terkilan kerana dialah yang mengajak isterinya datang bercuti di Pyongyang. “Oleh sebab dia pernah tinggal di Korea sebelum ini dan kontrak saya akan berakhir, kami mahu bersama kawan-kawan untuk kali yang terakhir," katanya.

Rahul sepatutnya menduduki peperiksaan pada Khamis tetapi dia langsung tidak membaca buku.

"Saya tidak boleh belajar. Semuanya bercelaru," katanya yang mengikuti perkembangan operasi mengesan pesawat MH370 melalui peranti tabletnya.

Dia juga terluka kerana terlalu banyak teori konspirasi yang bersebaran.

"Saya harap ada sedikit maklumat. Mana mungkin tidak ada orang yang langsung tidak ada maklumat?"

Rajiv dan Yashwant sudah bersiap-siap untuk datang ke Kuala Lumpur menyertai waris dan ahli keluarga penumpang serta krew MH370 yang lain yang kini ditempatkan di beberapa buah hotel di sekitar ibu negara.

Pasport mereka yang tamat tempoh diuruskan pembaharuannya dengan segera oleh pihak berkuasa di India.

Pasport itu sudah siap Selasa lalu. Tetapi kerana ayah mereka sudah balik ke Pune mereka menangguhkan rencana untuk terbang ke Kuala Lumpur.

Menunggu adalah satu kerja yang cukup payah dan melelahkan. Rahul duduk di biliknya di tingkat atas. Dia tidak menghiraukan orang ramai yang berhimpun di rumahnya sejak berita kehilangan pesawat itu pecah pada pagi Sabtu lalu. "Ada terlalu banyak orang di sini. Semuanya menangis. Saya tidak akan menangis."


Sumber daripada laporan Times of India, The Indian Express, Mirror Pune dan NDTV 24/7.


Post a Comment

 
Top