PERBUATAN perbomohan nampaknya masih lagi mendapat tempat dan perhatian kepada segelintir masyarakat pada masa kini. Walaupun zaman telah banyak berubah dengan kepesatan dan kecanggihan teknologi masih lagi ada pemikiran yang jauh mundur ke belakang dengan mempercayai tilikan bomoh.
Islam semenjak zaman Nabi SAW telah pun membasmi perbomohan bahkan ia sesuatu yang menyebabkan akidah dan iman seorang Islam terbatal.
Amat malang apabila masyarakat dunia khususnya di Malaysia sedang berhadapan dengan musibah kehilangan kapal terbang MH370 milik Malaysia yang masih belum ditemui dan belum diketahui nasib mangsa-mangsanya, juga kesedihan dan kebuntuan yang dirasai oleh keluarga mangsa, tiba-tiba dalam masa yang sama muncul pula musibah yang lainnya iaitu bomoh dan dukun yang juga tidak melepaskan peluang menawarkan diri atau ditawarkan oleh mana-mana individu bagi menilik dengan cara yang sangat membodohkan.
Ianya suatu yang mengaibkan dan mencemar imej Islam apabila dunia luar melihat tindakan seumpama ini.
Mengapakah ada lagi masyarakat yang masih melakukan atau mempercayai perkara ini? Bukan sahaja orang yang tidak berpendidikan tinggi melakukan perkara ini bahkan perbuatan keji ini turut dilakukan oleh mereka yang kononnya berpendidikan tinggi termasuklah mereka yang bergelar ahli politik dan sebagainya.
Sudah tentu jawapan pertamanya jahil terhadap akidah serta jahil terhadap perkara-perkara yang mengundang terbatalnya ucapan syahadahnya itu.
Kedua, menjadi hamba atau bertuhankan hawa nafsu. Inilah kerja yang dilakukan oleh syaitan laknatullah, dengan mempengaruhi manusia itu melakukan perbuatan yang mengundang kesyirikan atau maksiat terlebih dahulu dan seterusnya membisikkan kepada manusia supaya melakukan permusuhan dan kebencian sesama Islam sehingga kadang-kadang sampai ke tahap berbunuh-bunuhan. ALLAH SWT telah pun memberitahu kita di dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 90-91:
“Hai orang-orang yang beriman sesungguhnya meminum arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, menilik nasib (dengan panah) adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu mudah-mudahan kamu berjaya.
Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara sesama kamu lantaran daripada arak dan judi, dan menghalangi kamu dari mengingat ALLAH dan daripada melakukan solar, Adakah kamu hendak berhenti daripada melakukan perkara-perkara keji itu atau kamu masih berdegil”.
Perbuatan berjumpa dengan bomoh atau tukang tilik, bertanya dan memohon kepadanya lalu mempercayai apa yang dikatakannya adalah dosa yang besar kerana ia suatu bentuk kesyirikan kepada ALLAH. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang datang kepada bomoh atau tukang tilik dan membenarkan apa yang diperkatakan olehnya sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang telah diturunkan kepada Muhammad SAW.” (Hadis sahih, Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)
Antara Kahin dan Arraf
Perkataan Kahin bermaksud seseorang yang memberitahu apa yang akan berlaku di masa hadapan atau dia mengetahui apa yang berlaku di tempat yang lain sama ada dekat atau pun jauh sedangkan perkara tersebut tidak dapat dilihat.
Inilah yang disebut oleh masyarakat kita bomoh, dukun atau pawang. Perkataan Arraf pula bermaksud seseorang yang mendakwa dia mengetahui di manakah disorok barang barang yang dicuri atau siapakah yang mencurinya dan yang seumpamanya. Maka ini disebut sebagai tukang tilik.
Hadis ini menyatakan sesiapa yang datang kepada bomoh atau tukang tilik lalu membenarkannya maka dia telah kufur dengan apa yang telah diturunkan kepada Nabi SAW iaitulah al-Quran dan sunnah.
Ini disebabkan kerana dia mendakwa dan mengiktiraf bahawa si bomoh atau tukang tilik ini mengetahui perkara yang ghaib yang tidak ada sesiapa pun boleh mengetahuinya melainkan hanya ALLAH.
Oleh itu sesiapa yang mendakwa si fulan mengetahui perkara ghaib dia telah melakukan perkara yang syirik. Perbuatan ini juga akan menyebabkan solat si pelakunya ditolak oleh ALLAH seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini:
Daripada Sofiyyah (isteri Ibnu Umar) daripada sebahagian isteri isteri Nabi SAW bahawasanya Baginda SAW bersabda: Sesiapa yang datang kepada peramal/ tukang tilik lalu dia bertanya sesuatu kepadanya dan mempercayainya maka tidak akan diterima solatnya selama 40 malam (Riwayat Muslim)
Sebenarnya apa yang diperkatakan oleh bomoh atau tukang tilik tentang sesuatu yang ghaib atau meramal perkara-perkara yang akan datang adalah dengan bantuan jin dan di tambah dengan pembohongan si bomoh tersebut walau pun kadang-kadang yang ditiliknya itu betul.
Ini berdasarkan kepada sebuah hadis daripada Aisyah RA, dia berkata:
“Orang-orang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang para dukun atau bomoh, maka Baginda SAW menjawab: Mereka itu tidak berguna sedikit pun.
Mereka (para sahabat) berkata: Wahai Rasulullah SAW kadang-kadang mereka berbicara tentang sesuatu dan ternyata benar-benar terjadi.
Maka Rasulullah SAW bersabda: Kebenaran itu ialah suatu yang dicuri oleh satu jin, lalu ia lontarkan pada telinga kekasihnya (dalam kalangan manusia) dan mereka mencampuradukkan dengan seratus pembohongan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Al-Bukhari juga meriwayatkan dari pada Aisyah r.ha. Beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya para malaikat turun ke al-Anan iaitu awan, lalu mereka saling bercakap-cakap tentang masalah yang diputuskan di langit dan syaitan-syaitan mencuri-curi dengar apa yang diperkatakan, maka syaitan berjaya mendengarnya lalu syaitan menyampaikan kepada para bomoh atau dukun dan mereka pun menokok tambah dengan seratus pembohongan dari mereka sendiri”
Fikirkan dahulu sesuatu tindakan yang akan dilakukan, adakah ia mempunyai kesan terhadap akidah sebagai seorang Islam, juga supaya tindakan tersebut tidak akan menyebabkan penyesalan di kemudian hari. ALLAH telah memberikan akal kepada manusia untuk digunakan bagi berfikir dengan waras di samping panduan wahyu dari al-Quran dan Sunnah.
Isu ini perlu dilihat dengan lebih serius terutamanya bagi pihak atau institusi keagamaan di Malaysia khususnya yang mempunyai kuasa membanteras perbuatan syirik seumpama ini. Hanya kepada ALLAH kita mengadu dan memohon pertolongan.
Mohd Khairil Anwar Abdul Latif
Kaunselor Agama Institut Jantung Negara (IJN)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment