KUALA LUMPUR - Sebaik sahaja negara digemparkan dengan kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) pada 8 Mac lepas, ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, tumpuan dunia kini terarah kepada Malaysia.
Insiden penuh misteri ini bukan sahaja mengejutkan masyarakat dunia malahan menimbulkan seribu satu persoalan yang bermain dalam minda rakyat tempatan mahupun luar dalam merungkai persoalan ataupun mencari dalang di sebalik kejadian malang itu.
Mereka berteka-teki akan apakah nasib yang menimpa penumpang dan anak kapal penerbangan selain masing-masing senantiasa menanti dan mengikuti perkembangan terbaharu mengenai usaha mencari dan menyelamat (SAR) pesawat.
Episod kehilangan MH370 semakin memuncak khususnya apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi kenyataan berhubung petunjuk-petunjuk terbaharu lokasi pesawat berkenaan.
Biarpun demikian, insiden ini diburukkan lagi dengan kewujudan pelbagai spekulasi dan teori yang sedikit sebanyak dilihat mengguris perasaan anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370.
Penebaran spekulasi yang tidak diketahui akan kesahihannya itu bagaimanapun langsung tidak menggugat keprihatinan masyarakat luar dan tempatan khususnya apabila masih ramai yang tidak putus-putus tampil memberi kata sokongan dan mendoakan kesudahan yang terbaik untuk MH370.
BERKONGSI KESEDIHAN
Tiada lagi sempadan kaum, fahaman, ideologi politik dan malahan kewarganegaraan yang menjadi keutamaan ketika ini apabila insiden malang itu berjaya menghimpunkan masyarakat untuk bersama-sama berkongsi kesedihan dengan waris 239 penumpang dan anak kapal.
Bagi mereka, biarpun kejadian itu tidak mempunyai kaitan namun melihat linangan air mata anggota keluarga penumpang penerbangan MH370 yang terus menanti akan khabar berita, membuatkan diri juga tidak terkecuali terkesan dengan insiden itu.
Mereka mengharapkan akan adanya berita menggembirakan setiap kali bangun tidur ataupun ketika mendengar pengumuman penting daripada tiga personaliti yang menjadi tumpuan dunia ketika ini.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Ahmad Jauhari Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman, adalah antara figura yang sentiasa dinantikan dalam operasi SAR MH370.
Kesedihan dan harapan ini menjadi penantian penuh makna yang perlu ditangani bersama selain rasa simpati masyarakat diterjemahkan dalam pelbagai bentuk cara sebagai sokongan moral kepada keluarga terlibat.
MEDIA SOSIAL
Tidak kira sama ada penganut agama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu, masing-masing berganding bahu bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan penumpang serta anak kapal berkenaan mengikut cara agama yang dianuti.
Mereka turut sama mendoa agar diberi petunjuk dalam usaha menjejaki pesawat berkenaan yang ketika ini masih menjadi misteri akan ke manakah menghilangnya MH370.
Dalam pada itu, laman sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dipenuhi dengan doa serta harapan rakyat Malaysia agar pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas dijumpai segera.
Menggunakan simbol 'hashtag' seperti #PrayforMH370, #missing plane #MH370, masyarakat tanpa mengira umur mengemas kini status mereka mengharapkan akan adanya keajaiban yang berlaku selain meluahkan rasa simpati dengan apa berlaku.
"I hope the people of this plane are all safe and sound. Yah. Good luck people of MH370 (the missing plane) #missing plane #MH370," quraishis2cool4u dalam satu petikan laman Instagram.
"Please come back safe #MH370. Satu dunia menanti kepulangan kalian," antara petikan seorang pengguna laman sosial yang hanya mahu dikenali sebagai she_mj.
LUKISAN HARAPAN
Selain laman sosial, lukisan dan poster yang memaparkan gambar kapal terbang, anak kecil dengan mesej jelas seperti 'please come back', 'stay strong', 'light will guide you home' dan 'don't lose hope and don't give up', turut dijadikan medium sebagai tanda sokongan rakyat Malaysia kepada keluarga terlibat.
Ada juga yang menggunakan kain rentang untuk membangkitkan empati masyarakat selain sebagai memotivasikan anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu.
Di Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) misalnya, menjadi tumpuan ramai apabila kain rentang yang disediakan dengan paparan mesej
'Please Share Your Prayers For MH370' dipenuhi dengan ribuan tandatangan dan doa.
Pusat membeli-belah Plaza Pelangi di Johor Baharu pula mengambil inisiatif menyediakan ruang kepada pengunjung untuk menyampaikan mesej, doa yang akan ditulis di kertas dan digantung di ranting pokok di ruang legar kompleks berkenaan.
Menariknya, keprihatinan masyarakat kepada keluarga penumpang dan anak kapal penerbangan yang hilang itu turut menarik perhatian beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai bangsa menawarkan perkhidmatan kaunseling.
Ini sebagai dorongan meningkatkan semangat selain membantu anggota keluarga mendapatkan sokongan emosi dan psikologi.
"MEMORY OF HOPE"
Berlainan pula dengan Adza Edie Izwan Adenan, 28, yang berkongsi rasa simpati keluarga terlibat insiden itu menerusi penciptaan 'soundtrack' 'Memory of Hope'.
'Soundtrack' itu yang kini menjadi muzik latar di Astro Awani ketika paparan mengenai MH370, berentakkan 'build-up (yang dimulai perlahan dan semakin rancak) membawa mesej semangat dan tidak putus asa kepada keluarga penumpang dan pasukan yang terlibat dalam operasi SAR.
"Tajuk 'soundtrack' 'Memory of Hope' adalah sempena kod penerbangan itu, MH370 dan saya mengambil masa dua hari untuk menyiapkannya termasuk membuat video dan ini adalah satu sumbangan kecil Edie," katanya kepada Bernama.
Beliau, yang bekerja sebagai Pereka Grafik berkata, ilham mencipta 'soundtrack' itu timbul selepas melihat kesengsaraan yang dialami anggota keluarga waris dalam keadaan sukar itu begitu memberi kesan kepadanya.
Pemergian arwah ayahnya akibat serangan jantung, membuatkan Adza Edie Izwan dapat merasai keresahan mereka apabila orang yang disayangi tiada di sisi.
BUKAN KESEORANGAN
Mungkin apa yang dilakukan mereka tidaklah sebesar mana, namun kata-kata harapan, semangat dan doa yang diberikan dapat membantu anggota keluarga terlibat menghadapi suasana sukar, kata Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya, Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari
Dalam keadaan sedemikian, emosi waris MH370 akan terganggu ditambah pula dengan kewujudan pelbagai spekulasi, maka sokongan moral yang diberikan akan memberi keselesaan kepada mereka.
"Bagi keluarga mengalami insiden ini, mereka merasakan diri keseorangan dan orang lain tidak memahaminya kerana tidak mengalami keadaan ini.
"Tetapi, apabila melihat ramai yang berkongsi sama kesedihan serta mengekspresikan kata-kata harapan dan semangat dalam pelbagai bentuk, ini dapat mengurangkan emosi sedih mereka," katanya.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi 8 Mac.
Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari sama. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment