0


KUALA LUMPUR - Setakat rencana ini ditulis, para pakar penerbangan tempatan masih merasa bingung dengan peristiwa yang membawa kepada kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada awal pagi 8 Mac lepas.
   
Ini ditambah dengan tiada langsung panggilan kecemasan dan kedua-dua juruterbang seperti mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas pesawat Boeing 777-200 sebelum ia tiba-tiba hilang daripada radar Jabatan Penerbangan Awam Malaysia(DCA).
   
"Ok roger, good day" adalah komunikasi terakhir Kapten Zaharie Shah dengan Menara Kawalan Trafik Subang (ATC) pada 1.30 pagi sebelum semua perhubungan terputus.

Pesawat itu hilang dari skrin radar 70 minit kemudian.
   
Datuk Ismail Ibrahim, mantan juruteknik Tentera Udara DiRaja Malaysia dan sekarang jurulatih Jabatan Penyenggaraan Pesawat, Advanced Technology Training Centre (ADTEC) memberitahu Bernama jika pun ada kecemasan dalam pesawat, juruterbang akan memaklumkan kepada pusat kawalan di bumi atau menghantar isyarat kecemasan.
   
Bagaimanapun, apa yang membingungkan, pesawat MH370 dengan 227 penumpang serta 12 anak kapal tidak langsung membuat panggilan kecemasan menerusi radio dan juga 'Transponder' pesawat tidak mengeluarkan sebarang kod yang menunjukkan berlaku kecemasan dalam pesawat.  
   

Apa Yang Mungkin Berlaku
   
Menurut Ismail, Boeing 777-200 adalah pesawat generasi baru yang dilengkapi dengan sistem avionik dan komunikasi yang sofistikated, justeru adalah mustahil juruterbangnya langsung tidak berkomunikasi semasa kecemasan.
   
Kalau begitu, apa yang menyebabkan juruterbang-juruterbang itu berhenti berhubung dengan pihak kawalan di bumi?
   
Seorang lagi pakar kanan dari Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT), Ahmad Maulan Bardai percaya ketiadaan langsung komunikasi daripada pesawat MH370 itu mungkin akibat masalah atau kegagalan besar dalam pesawat.
   
Kemungkinan tiba-tiba berlaku letupan dalam pesawat yang memusnahkan kelengkapan komunikasi dan alat penerbangan lain di dalam pesawat tidak boleh ditolak, katanya.
   
Menurut beliau, kemungkinan itu yang menyebabkan mengapa juruterbang terputus hubungan dengan pihak kawalan di bumi tetapi banyak lagi kemungkinan yang perlu diteliti.
   
"Bagaimanapun, apa yang berlaku dengan MH370 ini amat membingungkan memandangkan dalam banyak nahas pesawat sebelum ini, anak kapal berhubung dengan ATC, malahan sehingga ke saat-saat akhir," katanya.
  

Hilang Dari Radar
  
Apabila ditanya mengapa hanya selepas 70 minit pesawat hilang dari skrin radar, Ismail yang berkhidmat selama 16 tahun dengan tentera udara berkata ianya ada kaitan dengan 'transponder' pesawat.
   
"Dalam hal ini, nampaknya 'transponder' itu mungkin telah dinyahaktifkan," katanya.
   
Apabila 'transponder' diaktifkan, ia akan menghantar isyarat ke ATC mengenai altitud (ketinggian) serta kedudukan pesawat di atas skrin radar di ATC.
   
Beliau menjelaskan juga, tidak ada sebab untuk juruterbang menyahktifkan 'transponder' sewaktu penerbangan.
   
Ditanya berapa jumlah 'transponder' yang ada di dalam pesawat, beliau memberitahu penulis, kemungkinan ada sehingga tiga bergantung kepada jenis pesawat.
   

Faktor Mungkin Menyebabkan Pesawat Terhempas
   
Apa yang boleh menyebabkan pesawat canggih sepertinya terhempas?
   
Penulis mengajukan soalan ini kepada mantan ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan beliau menyatakan bencana seumpama itu kebiasannya berpunca daripada kegagalan struktur, kegagalan enjin, kesilapan juruterbang dan juga sabotaj.
   
"Perangkaan kemalangan pesawat menunjukkan kira-kira 91 peratus kemalangan berlaku sewaktu pesawat berlepas dan mendarat," katanya sambil menambah bahawa
pesawat MH370 berada pada 'cruising altitude' sebelum ia hilang.
   
Menjelaskan lebih lanjut, Dr Ahmad yang juga Perunding Kejuruteraan Aeroangkasa berkata setiap kemungkinan perlu diteliti.
   
Menurut beliau, rekod penyenggaraan pesawat itu juga perlu diteliti dengan rapi untuk mencari apa-apa yang luarbiasa dalam sistem dan integriti strukturnya.
   
"Menyenggara pesawat bukan seperti menyenggara kereta di mana setiap komponen yang diganti perlu direkod walaupun satu skru yang diganti," katanya.
   
Beliau berkata, hanya kotak hitam dan perakam data penerbangan yang dapat merungkai apa yang sebenarnya berlaku pada penerbangan MH370.
   
Usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370 masuk hari ketujuh hari ini dengan kawasan pencarian diperluaskan ke lautan Hindi.  - Bernama

Post a Comment

 
Top