MH370: Kebakaran kokpit mungkin punca?
SELEPAS pihak berkuasa mengumumkan kehilangan MH370 turut disiasat, kemungkinan akibat perbuatan manusia seperti rampasan ataupun sabotaj, pelbagai teori berkumandang daripada pakar-pakar dan mereka berpengalaman dalam bidang berkaitan di seluruh dunia.
Chris Goodfellow yang ada pengalaman 20 tahun sebagai juruterbang berkata, isu kehilangan MH370 terlalu dirumitkan sedangkan jawapannya mungkin mudah iaitu berlaku kebakaran di kokpit.
Dalam catatan akaun Google+ miliknya, Goodfellow, sebaik mendengar berita pesawat itu berpatah balik ke arah Selat Melaka dari Laut China Selatan, dia terus memeriksa peta dan mendapati MH370 mungkin menuju lapangan terbang terdakat di Pulau Langkawi selepas berlaku masalah seperti kebakaran dalam kokpit.
"Kunci utama di sini adalah pusingan kiri dibuat pesawat itu. Juruterbang (Kapten Zaharie Ahmad Shah) adalah kapten yang sangat berpengalaman dengan lebih 18,000 jam penerbangan. Mungkin juruterbang lebih muda yang ditemu ramah (agensi berita) CNN tidak sedar mengenai pusingan kiri.
"Kami juruterbang lama dilatih untuk sentiasa tahu di mana lapangan terbang paling dekat ketika terbang untuk perlindungan selamat jika kecemasan," katanya.
Menurut Goodfellow, apabila melihat pusingan kiri dibuat MH370 dan menuju terus ke arah bertentangan, nalurinya memberitahu juruterbang itu mahu menuju ke lapangan terbang.
"(Zaharie) sebenarnya mengambil laluan terus di atas laut ke Pulau Langkawi yang tidak mempunyai banyak halangan. Dia tidak kembali ke Kuala Lumpur kerana dia tahu (laluan itu) merentasi gunung (Banjaran Titiwangsa) setinggi 8,000 kaki. Dia tahu laluan ke Langkawi lebih mudah dan jaraknya lebih dekat," kata Goodfellow.
Goodfellow percaya Zaharie mengambil tindakan betul pada ketika mereka mungkin menghadapi masalah serius yang mendorong pusingan U untuk ke lapangan terbang terdekat di Langkawi.
Katanya, terputusnya komunikasi termasuk kesan radar munasabah jika berlaku kebakaran kokpit.
"Melihat masa kejadian, mungkin berlaku kepanasan melampau pada salah satu tayar hadapan dan ia pecah sebaik pesawat berlepas dan terbakar perlahan-lahan.
"Ya, ini boleh berlaku dengan tayar yang kurang angin. Ingat ini pesawat berat, (dan insiden berlaku) pada malam yang panas dan landasan yang panjang," katanya.
Katanya, ada insiden di Nigeria pada 1991 melibatkan Douglas DC-8 yang tayarnya terbakar semasa berlepas menyebabkan asap tebal melemaskan kru dan penumpang.
Katanya, juruterbang memang ada akses kepada topeng oksigen tetapi ia tidak boleh guna masa kebakaran. Sebaliknya, kebanyakan juruterbang ada penutup muka dengan penapis asap tetapi ia hanya boleh bertahan beberapa minit.
"Apa yang berlaku adalah (kedua-dua juruterbang) lemas akibat asap dan pengsan, menyebabkan pesawat itu terus terbang menggunakan aplikasi sistem autopilot sehingga sama ada kehabisan minyak atau kebakaran memusnahkan papan kawalan dalam kokpit," katanya yang yakin pesawat itu boleh ditemui di sepanjang laluan terakhir yang ditetapkan juruterbang.
Jika itu benar, kata Goodfellow, Zaharie adalah wira yang bertarung situasi mustahil untuk cuba membawa pesawat itu ke Langkawi.
"Tiada was-was lagi dalam fikiran saya, itulah sebab mengapa pesawat itu berpusing dan mengambil laluan lurus," katanya.
Jika berlaku rampasan, katanya, ia tidak akan sengaja pusing ke kiri dan menuju ke arah Langkawi.
Goodfellow mengakhiri tulisannya dengan kata-kata: "Juruterbang bijak. Cuma tidak mempunyai masa mencukupi."
Apa yang ditulis Goodfellow, dan ramai lagi pakar di seluruh dunia, kekal menjadi spekulasi selagi MH370 tidak ditemui.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
informasinya sangat berguna mas salam kenal y
ReplyDeletesalam kenal juga dari akak
ReplyDeleteSemoga Allah bersama mereka..amin..kapten zahari semua menanti kembalinya kamu membawa mh370 dgn penuh harapan...
ReplyDelete