1
Keluarga dan waris penumpang serta anak kapal MH370 berhak diberikan lebih maklumat berhubung misi mencari dan menyelamat pesawat yang masih hilang itu. Gambar fail.


Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menggesa keluarga dan sanak saudara penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 diberikan lebih maklumat berhubung misi mencari dan bukan sekadar diberikan penginapan yang selesa.
Beliau berkata, dengan perkembangan semasa misi mencari dan menyelamat disalurkan kepada keluarga penumpang, ia akan memberi sedikit kelegaan dan ketenangan setelah pesawat yang hilang itu kini masuk hari kelapan.
“Beri mereka maklumat, bukannya bila hendak minum teh dan bila naik bas. Apa yag mereka mahu ialah maklumat supaya dapat mententeramkan sedikit keluarga berkenaan,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Apa Kata Wanita terbitan RTM.
Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu minggu lalu sewaktu dalalam perjalanan menuju ke Beijing namun gagal dikesan radar setelah sejam memulakan penerbangan.
Operasi mencari dan menyelamat yang kini masuk hari kelapan turut mendapat bantuan daripada negara kuasa besar dunia, Amerika Syarikat, beberapa negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Indonesia termasuk dari negara China yang memiliki penumpang teramai dalam pesawat berkenaan.
Menceritakan detik cemas sewaktu hari pertama mendapat perkhabaran pesawat MAS itu hilang pada Sabtu lalu, Rosmah berkata, ia sesuatu yang sukar dipercayai dan amat berdukacita.
Katanya, pada hari berkenaan, Datuk Seri Najib Razak berada di Janda baik memberi latihan kepada pemimpin negara dan bergegas pulang untuk memberi taklimat kepada kementerian berkaitan.
“Bila dapat tahu berita, saya amat dukacita. Saya terus menggigil dan lutut saya rasa lemah. Saya pada mulanya tidak percaya perkara begini boleh terjadi.
“Saya tidak sangka kapal terbang ini boleh hilang selama ini. Selama lapan hari. Saya sentiasa berdoa agar kapal terbang dapat dijumpai dengan secepat mungkin,” katanya dalam rancangan yang dihoskan oleh Zamzarina Zambri.
Rosmah merupakan individu yang terawal memberi semangat menemui keluarga penumpang di Hotel Everly, Putrajaya berkata, kehadirannya sedikit sebanyak membendung kesedihan mereka yang hilang tempat bergantung.
Katanya, ada salah seorang suami yang memiliki empat anak di mana isterinya berada di dalam pesawat berkenaan mengadu agar membawa isterinya pulang.
“Saya kata insya-Allah. Kalau ada isteri dia dalam handbag saya, nah ambillah. Kita kena tahu secara psikologi, sekiranya orang seperti saya turun mendampingi mereka dan mendengar tangisan mereka, secara automatik mereka berasa ada tempat mereka berpaut dan berpegang.
“Saya mengambil keputusan untuk berjumpa dengan ahli keluarga dan sanak saudara penumpang dalam penerbangan tersebut. Saya dapat mendalami perasaan mereka ketika itu. Perasaan yang tidak menentu,” katanya menerusi rancangan yang ke udara selama 60 minit itu.
Rosmah turut berkongsi keadaan di mana beliau perlu bergegas ke hotel berkenaan bagi menenangkan keluarga penumpang.
“Masa itu mereka tidak tahu dengan siapa mereka mengadu. Masa saya pergi, nak sikat rambut pun tak sempat kerana saya kena sampai dalam masa setengah jam. Pakai sahaja baju dan pergi terus,” katanya.
Dalam temubual itu, Rosmah turut ditanya kaedah terbaik untuk menenangkan suaminya tatkala krisis besar sedang melanda negara.
Katanya, Najib akan menonton program sukan golf bagi menghilangkan tekanannya dan akan lebih banyak berkongsi pada waktu tekanannya hilang.
“Saya bernasib baik sebab suami saya boleh kawal berita seperti ini. Dia boleh fokus dan tolak tepi. Saya kagum dengan sifat beliau. Kalau dia balik menonton golf, saya tahu kepala dia ada macam-macam. Saya biarkan dia bertenang dahulu dan relaks baru saya dekati.
“Lepas dia tenang, dia boleh bercerita dengan lebih baik lagi. Tidak ada sifat marah. Saya pun kaunselor di rumah kepada suami. Jika dia hendak bercakap, dia akan luahkan. Kalau dia tidak bercakap, saya faham itu rahsia kerajaan,” katanya.
Rosmah juga memberikan nasihat kepada rakyat Malaysia agar tidak berkongsi berita yang tidak benar di laman sosial dan perlu menjaga perasaan keluarga penumpang pesawat tersebut.
Katanya, sebagai naluri sesama manusia, kita perlu mengelak daripada menyebar berita palsu, menuduh dan mencari salah orang lain.
“Pertama sekali saya bukan kerajaan. Saya hanya suri rumah tangga tetapi sebagai orang yang boleh berfikir, saya rasa berita palsu tidak harus dikeluarkan dalam internet. Sekarang sepatutnya kalau kita mempunyai perasaan sebagai manusia, kita harus mengasihani manusia lain.
“Kita bukan binatang yang tidak ada perasaan. Mereka tidak seharusnya menulis berita palsu, menuduh dan mengata orang lain. Ini bukan masanya. Sekarang ini masanya kita bersatu dan berdoa kepada Allah. Apa yang mustahak kapal terbang dan penumpang,” katanya. – 15 Mac, 2014.

Post a Comment

  1. Setuju.. perkhabaran berita adalah yg lebh penting buat keluarga mangsa pada waktu ini... layanan istimewa tidak dapat menghilangkan keresahan mereka...

    ReplyDelete

 
Top