Seorang jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Hamed, 40-an berkata, Fariq selalu ke surau untuk menunaikan solat berjemaah bersama penduduk lain.
Menurutnya, perkara itu tidak menghairankan kerana Fariq sememangnya dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan pendidikan agama.
"Ternyata apa yang digembar-gemburkan oleh media asing tentang peribadi Fariq adalah sesuatu yang tidak wajar dan berat sebelah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, pihak berkuasa sendiri telah mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian kehilangan pesawat terbabit dan masih menyiasatnya.
Bagi Hamed, dalam suasana yang genting ini, media sepatutnya melaporkan perkara yang tulus dan daripada sumber sahih.
Seorang lagi jiran, Safwan Jasmin Rahman, 49, memberitahu, keluarga Fariq mula menetap di situ pada 2006.
"Ayahnya yang lebih mesra dikenali sebagai Haji Abdul Hamid merupakan seorang yang aktif dalam aktiviti penduduk terutama di surau berhampiran iaitu Surau Al-Mawaddah," katanya.
Mengulas mengenai Fariq, Safwan menjelaskan, tingkah laku Fariq ternyata tidak ubah seperti bapanya.
"Fariq seorang yang mudah didekati dan mudah diajak berbual," katanya.
Mengenai media asing yang dilihat banyak mengeluarkan laporan negatif tentang Fariq, beliau memberitahu, mereka yang berjiran lebih mengenali pembantu juruterbang itu dan keluarganya.
Sementara itu, usaha untuk menemu bual jiran juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, gagal berikutan tidak dibenarkan masuk ke taman perumahan di Seksyen 13 tersebut oleh pengawal keselamatan.
Petugas media tempatan dan asing dilihat masih lagi berkumpul di situ untuk mendapatkan maklumat terkini.
Post a Comment