0
'Mak, jom!', ajak Muzi

BANTING  - "Mak, jom! Saya pergi dulu, ya," demikian kata-kata terakhir dilontarkan Muzi Yusop, 50, salah seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dilaporkan hilang kelmarin kepada ibunya sebelum dia bertolak ke KLIA.

Muzi bertemu kedua ibu bapanya di Kampung Jenjarom, dekat sini, sebelum berlepas ke KLIA bagi mengikuti rombongan kerja bersama rakan-rakan setugasnya ke Beijing.
Ibu Muzi, Semah Sidik, 70, berkata, dia tidak menyangka itulah kata-kata terakhir yang diungkapkan Muzi kerana sudah menjadi kebiasaan anaknya itu akan bergurau mengajak dia ke mana-mana.

"Rumah anak saya hanya lima meter dari rumah kami. Memang dah jadi kebiasaan Muzi kalau nak ke mana-mana dia akan singgah ke rumah kami dulu dan cakap pada saya, 'mak, jom'.


"Tapi saya memang tak sangka itu kata-kata terakhir selepas dapat tahu kapal terbang dia naiki hilang," katanya.
 
Menurut Semah, setiap kali anaknya mengajak, dia memang tidak akan ikut kerana perlu menguruskan suaminya, Yusop Tahir, 76, berulang alik ke pusat rawatan dialisis.

"Kelmarin bila dapat berita tentang pesawat tu, kami baru saja pulang dari pusat dialisis. Suami saya terus pengsan kerana terkejut," katanya yang masih sedih dengan kejadian yang menimpa anak sulungnya itu.
Semah berdoa dan berharap semua di dalam pesawat itu selamat.

Sementara itu, isteri Muzi, Haniza Bachik, 47, ketika ditemui masih lagi diselubungi kesedihan dan tidak mampu berkata apa-apa.

Adik bongsu Muzi, Mohd Ezhar, 25, pula berkata, dia orang pertama yang memaklumkan kehilangan pesawat berkenaan kepada kakak iparnya.

 
"Saya bergegas ke rumah kakak nak maklumkan berita itu. Kami semua memang tak sangka pemergian abang buat pertama kali ke luar negara jadi begitu," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Jenjarom, Ma’min Radiman berkata, beliau bersimpati dengan nasib ahli keluarga yang terlibat dalam kehilangan pesawat MH370 ke Beijing itu, lebih-lebih lagi melibatkan orang kampung di sini.

 
Katanya, Masjid Al Falah Kampung Jenjarom telah mengadakan solat hajat dan doa selamat, malam kelmarin.

“Sebagai penduduk, kita harap jiran tetangga dapat doakan kesejahteraan keluarga penumpang yang terlibat dan memberi semangat supaya keluarga mereka dapat bertenang,” katanya.

Post a Comment

 
Top