SELEPAS selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang di Bangi, saya bersama dua rakan, Dr Wan Suhaimi dan Zaki Abdul Rahman, ke Shah Alam untuk menziarahi rumah keluarga Pegawai Pembantu Juruterbang, Fariq Ab Hamid, 27, yang turut terlibat dalam kehilangan MH370.
Kedatangan kami disambut oleh Abdul Ghafar bapa saudara Fariq yang kebetulan rakan kami di Pasir Mas.
Menurut Ghafar, anak saudaranya itu merupakan anak sulung daripada lima adik-beradik dan masih belum berumah tangga.
Kebetulan semasa kami sampai, keluarga itu menerima tetamu dari akademi penerbangan tempat di mana Fariq mengikuti kursus penerbangan. Pengarah akademi berkenaan dan dua orang jurulatihnya bernama Rajit dan Michael.
Menurut kedua-dua pengajar itu, Fariq merupakan seorang juruterbang yang berkebolehan dan mahir mengendalikan pesawat. Dia tamat mengikut kursus di akademi berkenaan tahun 2007 kemudian menyertai MAS.
Susulan misteri kehilangan MH 370, rumah keluarga itu tidak putus-putus dikunjungi sanak saudara dan rakan taulan dari jauh dan dekat. Rakan-rakan Fariq termasuk juruterbang yang satu batch dengannya ikut sama menziarahi. Dua rakan Fariq yang mengendali MAS dan AirAsia tiba kira-kira 15 minit selepas kami tiba.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakub bersama beberapa orang wakil rakyat turut sama menziarahi keluarga Fariq. Kebetulan ayah Fariq adalah abang kepada bekas wakil rakyat Pas kawasan Tendong, Allahyarham Mohamad Daud.
Neneknya, Halimah Abdul Rahman yang tinggal di Kampung Perangkap, Tendong masih ada dan akan pulang ke Pasir Mas. Halimah yang bergegas ke rumah anaknya itu di Shah Alam mahu mengetahui perkembangan cucunya itu. Bayangan kesedihan jelas terbayang di segenap wajah yang ada di dalam rumah itu.
"Apa boleh buat, kita berserah kepada ALLAH sahaja," begitulah sepatah kata Ab Hamid, ayah Fariq tenang tetapi dapat merasai betapa senak jiwanya. Walaupun beliau melayan tetamunya seperti biasa tetapi kedukaannya ALLAH sahaja yang tahu.
"Saya dah tak tahu nak kata apa lagi, terpaksa buat-buat suka (tidak ada apa-apa), tetapi apa yang ada dalam hati hanya Tuhan sahaja tahu," katanya menjelaskan hakikat dirinya. Beliau juga bingung dengan apa yang berlaku kerana masih menjadi misteri sampai ke saat ini.
"Sama-sama berdoalah," ujarnya mengharap kepada kami dan setiap tamu yang datang ke rumahnya. Menurutnya ahli keluarga tidak lekang berdoa dan bersolat hajat memohon agar Fariq dan semua terlibat dalam keadaan selamat.
Nenek Fariq yang sudah tiga hari berada di Shah Alam sewaktu berjalan untuk pulang, menoleh kepada kami dan tetamu lain sambil berkata; "pakat-pakat berdoalah supaya selamat,". Di ruang matanya saya nampak ada genang air jernih mulai bergenang di tubir mata. "Ambo nak balik dululah, lama dah mari," ujarnya sayu sambil berlalu.
Semasa kami datang tadi salah seorang adik perempuan Fariq ada dalam rumah dan kelihatan mengawasi saya apabila saya berjalan ke arah sudut di mana tergantung gambar penuh keluarga berkenaan. "Please pakcik..," katanya. Saya faham perasaannya. "Bukan nak ambil (rakam) nak tengok sahaja," balas saya.
Saya merenung wajah dalam gambar itu satu persatu sepuas-puasnya sehinggalah mata saya terpacak kepada wajah jejak yang saya kira bernama Fariq, dia seorang pemuda yang kacak dan tampan dalam gaya senyuman tersendiri.
Memenuhi harapan nenek Fariq itu sama-sama kita berdoa semoga Fariq dan seluruh anak kapal dan penumpang MH 370 yang lain SELAMAT.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment