0
REUTERS
SEORANG pegawai tentera Vietnam, Ngo Ngoc Dong melihat sebuah peta di atas skrin iPad di dalam sebuah pesawat semasa misi mencari pesawat MH370 di luar pantai Pulau Con Dao semalam.

LONDON - Banyak pihak keliru berhubung kehilangan sebuah pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS) pada Sabtu lalu ketika kebanyakan negara memiliki teknologi pengesanan yang serba canggih, lapor akhbar Mail Online semalam.
Walaupun dilengkapi perakam data penerbangan, kotak hitam dan sistem komunikasi radio, Boeing 777-200 milik MAS itu hilang pada awal pagi dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China pada Sabtu lalu.
Pakar-pakar masih keliru tentang punca pesawat MH370 terputus hubungan komunikasi dengan sebahagian mereka menyatakan pesawat itu sama ada dibom dan meletup di udara atau hilang dalam lohong hitam aeronautik atau menjadi mangsa perang elektronik.
Dalam pada itu, kehilangan kapal terbang tersebut mungkin juga berpunca daripada perbuatan mematikan sistem komunikasi dalam pesawat.
Seorang pakar kejuruteraan, Dr. Martyn Thomas dari Institusi Kejuruteraan dan Teknologi, London memberitahu, beliau berpendapat kehilangan pesawat MH370 itu berpunca daripada penyahmampatan pesawat yang menyebabkan para penumpang dan kru pengsan manakala peralatan komunikasi turut rosak.
Dalam senario tersebut, Boeing 777-200 masih boleh terbang dengan menggunakan sistem kemudi automatik tanpa penglibatan manusia sejauh 3,200 kilometer.
Satu lagi kebarangkalian adalah kapal terbang itu mungkin terjatuh ke dalam lohong hitam aeronautik di rantau berkenaan, kata seorang lagi pakar penerbangan Akademi Kejuruteraan Diraja, London, Stewart John.
"Radar digunakan untuk menjejaki pesawat di kawasan penempatan penduduk tetapi apabila pesawat tersebut memasuki pedalaman seperti bahagian dalam Rusia atau hutan rimba Malaysia, satu-satunya kaedah pengesanan adalah supaya pesawat berkenaan menghantar maklumat pada kadar masa yang tetap," jelasnya.
Kata John, kotak hitam yang sebenarnya berwarna oren digunakan untuk merakamkan sebarang arahan yang dihantar ke pesawat, komunikasi radio atau komunikasi sesama kru.
DUA anggota penyelamat tentera Indonesia menggunakan binokular untuk mencari pesawat MH370 di Selat Melaka semalam.


Apabila sesebuah pesawat hilang, kotak hitam akan aktif pada frekuensi tertentu iaitu dalam tempoh 30 hingga 70 hari.
Peralatan tersebut boleh dikesan dalam lingkungan lapan kilometer.
Kotak itu direka untuk kebal daripada impak pesawat terhempas, tekanan laut dalam dan kalis suhu ais atau api.
"Namun, pasukan-pasukan penyelamat boleh terlepas pandang jika mereka tidak berada pada jarak sesuai atau menggunakan frekuensi yang betul," kata Stewart.
Menurutnya, terdapat juga kemungkinan kotak hitam penerbangan MAS itu musnah akibat letupan kuat seperti bom.
Terdapat teori lebih radikal yang mengaitkan kehilangan pesawat MH370 dengan peperangan elektronik susulan pengesahan sekurang-kurangnya 20 penumpang pesawat tersebut merupakan kakitangan firma semikonduktor Amerika Syarikat, Freescale.
Setiap penumpang itu memiliki pengetahuan tentang teknologi elektronik untuk aplikasi pertahanan.
Ia termasuk teknologi untuk menjadikan pesawat itu "halimunan" sekali gus gagal dikesan oleh radar.
Laman web Beforeitnews melaporkan teknologi tersebut melibatkan susunan panel kaca yang digunakan untuk memesong cahaya di sekitar objek.
Beberapa teknik lain melibatkan teknologi menghentikan isyarat untuk mengelak pesawat itu dikesan oleh radar. - Agensi


Post a Comment

 
Top