0

Kehilangan MH370 turut jadi tumpuan warga Sekolah Tinggi Kluang


KLUANG 12 Mac - Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak Sabtu lalu turut mendapat perhatian guru dan pelajar Sekolah Tinggi Kluang (STK) di sini kerana salah seorang daripada anak kapal pesawat tersebut iaitu Tan Ser Kuin merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan.

Wanita berusia 42 tahun tersebut menuntut di sekolah itu mulai 3 Januari 1988 dan ditempatkan di kelas Tingkatan 4K3 dan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun berikutnya.

Pengetua sekolah berkenaan, Rozali Jemain berkata, berita kehilangan pesawat tersebut bukan sahaja memberi impak kepada keluarga Ser Kuin, malah seluruh warga sekolah berkenaan bersedih dan mendoakan semua kru dan penumpang pesawat itu akan ditemui selamat suatu hari nanti.

"Apatah lagi kami akan menyambut ulang tahun ke-75 sekolah ini hujung tahun ini dan bercadang menjemput semua bekas pelajar termasuk Ser Kuin bagi memeriahkan majlis tersebut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan cerita guru terdahulu, Ser Kuin merupakan seorang pelajar baik dan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Rozali yang berkhidmat di STK sejak 1996 turut berharap supaya semua pihak dan seluruh rakyat Malaysia terus berdoa untuk keselamatan pesawat, anak kapal dan penumpangnya.
Sementara itu, usaha menemu bual keluarga Ser Kuin tidak berhasil apabila mereka menolak untuk bertemu dengan media.

Post a Comment

 
Top