Aplikasi pesanan ringkas seperti Whatsapp, Telegram dan Line turut menjadi landasan menyebar 'maklumat' situasi semasa kejadian ini.
Walaupun Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perjalanan pesawat malang ini berakhir di Lautan Hindi, kegagalan menemui apa-apa serpihan kapal terbang seakan menyokong pelbagai teori dan spekulasi.
Untuk mengawal keadaan daripada menjadi tidak terkawal, kerajaan tidak putus-putus mengingatkan warga masyarakat agar tidak terpengaruh dengan berita-berita yang tidak disahkan kepastiannya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut mengeluarkan peringatan rasmi, menyatakan tindakan menyebar, memuat naik atau berkongsi status berbentuk spekulatif berkaitan insiden ini boleh menyebabkan si pelaku disiasat dan diambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Media 1998.
TINDAKAN CYBERSECURITY
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Dr Amirudin Abdul Wahab memberitahu Bernama, sehingga hari ini pihaknya menerima empat laporan berkaitan tragedi MH370.
Aduan ini disalurkan melalui Pusat Bantuan Cyber999 yang dikendalikan pihak CyberSecurity Malaysia.
"Kami menerima laporan mengenai sebuah akaun Twitter yang mengandungi kandungan berbentuk gangguan atau hasutan berkaitan insiden MH370.
"Kami telah menghubungi Twitter untuk meminta supaya kandungan itu dipadamkan. Twitter bertindak pantas memadamkan kandungan itu", jelas beliau.
Tambah beliau lagi, Cyber999 turut menerima laporan mengenai kewujudan pautan berbahaya yang disebar melalui laman media sosial.
Untuk insiden ini, CyberSecurity Malaysia mengeluarkan dua amaran dan nasihat berhubung kewujudan pautan ini melalui laman sesawangnya.
Kedua-dua amaran ini boleh diakses melalui pautan http://www.mycert.org.my/en/services/advisories/mycert/2014/main/detail/960/index .html dan http://www.mycert.org.my/en/services/advisories/mycert/2014/main/detail/962/index .html .
GOSIP BLOG
Tragedi MH370 juga telah memberi ruang kepada ramai penulis blog untuk berkongsi pendapat dan teori masing-masing tentang apa yang mungkin terjadi kepada pesawat malang itu.
Ada yang menyatakan ia meletup di udara, ada yang menyatakan pasukan penyelamat mencari di tempat yang salah, dan ada juga yang mengaitkannya dengan teori konspirasi "New World Order".
Beberapa blog yang mengambil pendekatan yang lebih "nakal", menyatakan kononnya pesawat malang ini disorok oleh pihak Amerika Syarikat di pangkalan mereka di Diego Garcia.
Tidak ketinggalan, blog yang lebih agresif, yang menyatakan pesawat MH370 didalangi oleh tangan-tangan ghaib yang mendalangi pelan mencetuskan perang dunia ketiga.
Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan penulis blog menggunakan nama pena yang menyukarkan orang ramai daripada mengenali mereka, apatah lagi cuba mengesahkan kebenaran maklumat yang ditulis.
Menurut seorang guru, Nasaruddin Rahmat, 41, spekulasi yang timbul berkaitan tragedi ini mempunyai impak positif dan negatif.
"Spekulasi yang wujud berkaitan MH370 membawa banyak justifikasi. Justifikasi dan pandangan pakar penerbangan kadang-kadang membantu rakyat memahami prosedur pencarian dan kemungkinan punca kehilangan pesawat itu.
"Namun begitu, penerimaan dan gaya fikiran rakyat menimbulkan banyak isu tambahan dan masing-masing berlumba-lumba untuk menjadi orang pertama menawarkan berita panas. Ini menjadi ancaman kepada keutuhan keselamatan dan reputasi negara", jelas beliau.
PILIH MAKLUMAT RASMI
Tinjauan rambang Bernama mendapati rata-rata warga masyarakat yang ditemui memilih untuk percaya kepada maklumat rasmi yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan dari semasa ke semasa.
Ahmad Sarni Abu Hassan, 47, berkata mempercayai maklumat rasmi adalah jauh lebih selamat dan lebih menghormati semua pihak yang terbabit dalam tragedi ini.
"Kalau nak ikut apa orang kata, memang tak habis-habis ceritanya. Hari-hari pakcik pasang radio dengar sidang media oleh menteri (Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein). Mereka yang buat kerja, baik percaya mereka. Yang lain itu cakap sahaja, tapi goyang kaki di rumah", jelas beliau.
Pemandu teksi ini menambah kata, orang ramai seharusnya cuba meletakkan diri mereka di tempat keluarga mangsa dan semua anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.
Sementara itu, ada juga yang seolah-olah makin kecewa kerana tiada perkembangan positif dari hari ke hari, antaranya ialah seorang peniaga, James Chew, 35, dari Seremban.
"Kita memang tak mahu percaya maklumat lain daripada menteri (Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein) tapi hari-hari berita kata belum jumpa, kita sudah rasa kalau-kalau cerita lain (spekulasi) itu betul", luah beliau.
Beliau menambahkata sentimen sama turut dirasai rakan-rakannya yang setia menanti perkembangan terbaharu akan tragedi ini.
SARING INFORMASI YANG DITERIMA
'Blog-hopper' yang hanya mahu dikenali sebagai Malani pula berkata setiap kali 'berita' sampai kepada beliau, terdapat beberapa cara untuk menentukan kesahihannya.
"Pertama, saya lihat kepada sumbernya. Kalau ada perkataan seperti 'just sharing' atau 'menurut rakan saya yang bapanya ada di tempat kejadian', maklumat itu saya tolak", katanya.
Malani turut menambah kata sesetengah khabar angin yang diterima turut menggunakan nama 'pegawai' kononnya yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.
"Sekali baca, rasa macam nak percaya tapi bila difikirkan kembali, tidak mungkin pegawai-pegawai ini akan membuat kenyataan sendiri tanpa merujuk kepada ketua misi iaitu Pemangku Menteri Pengangkutan", jelas beliau.
NASIHAT CYBERSECURITY
Amirudin turut memberi beberapa petua kepada pengguna internet agar tidak menjadi mangsa penyebaran maklumat palsu berkenaan tragedi MH370.
Pengguna internet dinasihatkan agar tidak menyebarkan emel atau maklumat yang tiada pengesahan akan kesahihannya. Jika ragu, boleh hubungi Cyber999 bagi tujuan analisis dan mendapatkan panduan.
"Padamkan terus sebarang lampiran atau pautan laman web yang diterima melalui emel atau laman sosial tanpa membuka lampiran atau pautan itu", tambah beliau.
Selain itu, pengguna perlu memastikan komputer mereka dilengkapi perisian anti-virus dan sentiasa mengemaskini 'security updates' dan 'patches'.
Ali Imran Mohd NoordinBERNAMA
Post a Comment