0
                                           Selekoh tajam yang berbahaya ini perlu diperlebar.

Pengguna jalan raya di antara Kulim ke Junjung meminta supaya pihak terlibat melebarkan beberapa selekoh berbahaya di kawasan itu bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

Pekerja industri, Mohd Nizam Ariffin berkata, kebanyakan mereka yang terlibat dalam kemalangan terdiri dari penunggang dan pembonceng motosikal.

Katanya, masalah semakin serius terutama pada waktu malam dan keadaan hujan.

“Apa yang pasti, selekoh tajam yang ada di kawasan ini harus diperlebar. Memang banyak kemalangan maut berlaku di sekitar selekoh jalan Kulim Junjung ini,” katanya.

Ahli Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) Hadzir Abdullah berkata, sebelum ini memang ada perancangan untuk melebarkan setiap selekoh di Jalan Kulim Junjung bagaimanapun gagal dilaksanakan kerana ia melibatkan tanah individu.

Menurutnya, apabila ini berlaku, kerajaan negeri atau kerajaan pusat terpaksa membeli tanah terlibat bagi tujuan melebarkan jalan.

Beliau berkata, ini bukan sahaja memakan kos yang tinggi sebaliknya mengakibatkan pengguna jalan memandu lebih laju kerana jalan lurus.

“Saya mencadangkan supaya pengguna mematuhi papan tanda yang dipasang di sekitar kawasan itu. Tanda amaran juga diletakkan untuk mengingatkan mereka supaya berhati-hati.

"Sekiranya pengguna jalan lebih peka terhadap masalah ini, saya percaya kemalangan maut dapat dikurangkan,” katanya.

Post a Comment

 
Top