Bapanya Hazrin, 34, adalah salah seorang daripada 12 kru pesawat Malaysia Airlines MH370 yang lenyap ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac.
"Dia bertanya bilakah papa dia akan balik. Apabila dia melihat gambar di iPad dan telefon, dia akan minta saya telefon ayahnya.
"Pernah sekali, dia terbangun waktu pagi dan menangis mencari ayah dia. Saya sedih. Dia rindukan ayahnya seperti saya," kata isteri Hasnan, Intan Maizura Othman ketika ditemui di Subang baru-baru ini.
Keluarganya bercuti ketika penerbangan Hasnan ke Beijing. Mereka berada di Port Dickson.
"Sebagai anak kapal, jadual kami padat. Kadang kala dia bercuti sehari, kadangkala dua hari, jadi kami merancang cuti supaya dapat luangkan masa bersama, kata Intan Maizura yang juga seorang anak kapal.
Mereka mengembara bersama ke London, Paris dan Johannesburg. Mereka berpacaran selama setahun sebelum mengikat hubungan dengan perkahwinan enam tahun lalu.
Intan berhenti terbang apabila mengandungkan anak kedua mereka. Dia kini berada dalam cuti dan menanti masa bersalin pada Mei.
Ketika Iman merindui bapanya, Intan hilang arah tanpa suami yang turut menjadi sahabat baiknya.
"Dia segalanya. Kami buat semuanya bersama. Selalu bergurau, macam sahabat. Dia ringan tulang, dia segala-galanya yang setiap isteri mahukan. Saya bersyukur berada dengannya. Sekarang saya hilang arah," kata Intan, 34.
Malah, itulah kata-kata Intan kepada Hazrin pada 7 Mac, ketika menghantarnya ke lapangan terbang.
"Dia telefon saya semasa menaiki aerotrain ke terminal. Dia bercakap mengenai Wan Swaid. Saya kenal dia kerana Hazrin dan Wan Swaid bekerja di zon yang sama, dan kemudian perbualan kami ditamatkan dengan 'saya sayang awak'. Itulah kali terakhir kami bercakap," katanya.
Wan Swaid Wan Ismail merupakan pramugara kanan dalam pesawat MH370 bersama Hazrin dan 10 lagi anak kapal.
Berpakaian baju labuh dan bertudung, Intan kelihatan tenang. Dia kini dapat mengawal emosinya.
"Saya menangis. Tetapi saya cuba untuk tidak menangis depan Iman. Saya perlu tenang untuk kebaikan kami dan anak yang bakal lahir.
"Ianya lelaki. Hazrin sudah namakannya Muhammad. Dan saya akan namakannya dengan nama itu," kata Intan.
Intan kini tertanya-tanya apa yang akan berlaku selepas melahirkan anaknya. Dia tidak sanggup lagi mendengar bunyi kapal terbang.
"Iman akan melambaikan tangan apabila dia ternampak kapal terbang melintasi kediaman kami kerana kami tinggal berhampiran lapangan terbang. Dia akan berkata, 'Bye-bye papa', seperti yang dia selalu buat apabila Hazrin keluar bekerja. Bagi saya, saya takut, trauma, sedih... semuanya berkecamuk," kata Intan.
Dia berkata: "Saya terima apa sahaja kemungkinannya. Hidup atau mati. Jika dia sudah tiada, tunjukkan bukti, sekarang kita cari jawapan kepada persoalannya," katanya.
Kehidupan amat sukar tanpanya, daripada segi kewangan dan emosi.
"Saya bukan mahu duit. Saya mahukan suami saya. Saya mahukan dia lebih daripada duit.
"Iman masih mahukan bapanya, dan saya mahukan suami saya."
Intan juga bersyukur mempunyai sokongan daripada keluarganya, mertua dan sahabat handai.
"Sukar untuk terus tabah, tetapi semua sokongan dan kasih sayang di sekeliling saya menjadikan saya semakin kuat," katanya.
Dia kelihatan sugul ketika berbicara mengenai Hazrin dengan tekanan perasaan sejak 51 hari pesawat MH370 hilang.
Dia memaksa diri untuk tersenyum... namun ia kelihatan kosong. Kehidupannya teringatkan Hazrin.
Hazrin, Andrew Nari, Patrick Gomes, Wan Swaid dan lapan kru berada bersama 227 penumpang daripada 15 negara ketika pesawat itu lesap.
Misi carian besar-besaran melibatkan 26 negara dilancarkan untuk mencari pesawat itu di selatan Lautan Hindi.
Namun selepas 51 hari, dengan bantuan kapal selam kecil, Bluefin-21, masih tiada tanda-tanda serpihan pesawat yang boleh dikaitkan dengan pesawat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada 24 Mac pesawat itu "menamatkan penerbangannya di Lautan Hindi" barat Perth, Australia.
Sebulan kemudian, pengumuman dibuat Najib ketika ditemuramah CNN berkata kerajaan tidak bersedia untuk mengatakan penumpang pesawat MH370 hilang. – 29 April, 2014.
Post a Comment