0
  •                                     Lembaga putih yang dipercayai pontianak itu biasa dilihat di sini.


SUNGAI ULAR (KULIM) - Gangguan makhluk halus atau mistik wujud dalam kalangan masyarakat kita hari ini bagaimanapun ada di antara mereka beranggapan ia satu kepercayaan tahyul.

Misteri gangguan lembaga menyerupai pontianak di sekitar Jalan Sungai Ular ke Simpang Tiga Terap bukanlah satu perkara baru, di mana ada dalam kalangan penduduk tidak berani menggunakan jalan itu waktu tengah malam.

Penduduk tempatan mendakwa turut berjumpa lembaga bertenggek di atas paip air di tepi jalan seawal jam 11 malam.

Gangguan makhluk halus itu juga dikatakan mengakibatkan ada dalam kalangan penunggang motosikal dan kenderaan lain terbabas.

Penulis sempat menemu bual mangsa yang pernah ternampak makhluk halus berkenaan.

Dia berkata, ia mempunyai ketinggian sekitar 5 kaki 11 inci hingga 6 kaki tinggi, berambut panjang sehingga ke paras siku dan menutup muka.

Menurutnya, lembaga dipercayai pontianak itu selalunya berdiri di tepi jalan atau dilihat berjalan di tepi jalan berseorangan dalam keadaan kepala tertunduk.

Pengamal perubatan tradisional, Rosli Ahmad yang tinggal di Taman Tunku Putra berkata, pontianak ini merupakan iblis dan jin yang mampu menyerupai pelbagai bentuk dan rupa.

“Gangguan iblis dan jin ini boleh mengakibatkan seseorang itu dirasuk. Semua ini berlaku apabila mangsa berada dalam keadaan lemah. Selain itu, pontianak ini sering berada di kawasan di mana kerap berlakunya kemalangan maut,” katanya.

Menurutnya, sekira iblis dan jin sudah berada di dalam badan terlalu lama, ia akan menjadi lebih selesa dan sukar untuk mereka meninggalkan jasad ditumpang.

Jalan Sungai Ular ini amat digeruni pengguna pada waktu malam kerana gelap dan menyeramkan.

Enjin motosikal tiba-tiba terhenti

Terkini, seorang kakitangan awam, Mohd Aziz Osman yang menunggang motosikal jenis Kawasaki RR150 dari arah Terap ke Kulim terkejut apabila enjin motosikal ditunggangnya tiba-tiba terhenti kira-kira 50 meter dari Jambatan Sungai Anak Kulim kira-kira jam  12.30 pagi.

Dalam keadaan gelap dia menolak motosikalnya ke tepi jalan. Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya enjin motosikalnya itu berjaya dihidupkan semula.

Dia kemudiannya menghidupkan lampu motosikal bagaimanapun ternampak lembaga putih berambut panjang berada di hadapannya.

“Saya beristighfar panjang apabila ternampak lembaga putih itu berada kira-kira 10 meter di hadapan motosikal saya.

"Saya membaca beberapa surah Yasin dan meminta dia jangan mengekori saya,” katanya.

Menurutnya, pengalaman tidak dilupakan apabila lembaga itu memusingkan kepalanya sehingga ke belakang tanpa memusingkan badan.

Aziz berkata,  Jalan Sungai Ular ke Terap sering melibatkan kemalangan maut dan sehingga kini, lebih 10 kemalangan maut dilaporkan berlaku di mana ia melibatkan penunggang motosikal dan pemandu kereta.

Bonceng perempuan waktu malam

Sementara itu, penduduk tempatan, Safaruddin Ahmad berkata, kewujudan lembaga putih dipercayai pontianak di sekitar Jalan Sungai Ular menghala ke Terap bukanlah satu perkara baru, kerana ramai dalam kalangan penduduk di kawasan itu sudah mengalaminya.

Dia yang mempunyai kebun di Terap pernah ternampak lembaga itu bertenggek di atas paip air yang terletak di tepi jalan.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 11.45 malam ketika dalam perjalanan balik ke rumah.

"Saya ketika itu menunggang motosikal dan tidak dapat menunggang dengan laju kerana membawa muatan durian. Jalan dari Terap ke Kulim sememangnya gelap pada waktu malam, kerana ia merupakan kawasan hutan.

"Apabila tiba di tempat kejadian saya merasakan muatan yang saya bawa semakin berat. Beberapa minit kemudian badan saya berasa sejuk dan dalam masa sama, lampu motosikal saya menyuluh lembaga perempuan berdiri di kanan jalan,” katanya.

Sebelum ini, lima anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) mengejar seorang suspek yang melarikan diri dengan menunggang motosikal di jalan berkenaan.

Mereka terkejut kerana di belakang motosikal salah seorang anggota ditumpang oleh seorang perempuan.

Anggota PBT itu mengalami kerasukan bagaimanapun dipulihkan dengan bantuan penduduk tempatan sebaik sahaja sampai ke pondok rondaan.

Kejadian ini masih berlaku sehingga hari ini dan terus menjadi tanda tanya kepada penduduk tempatan.

Post a Comment

 
Top