0
Abzariq Abas 34, menunjukkan gambar rakan karibnya Hazrin Hasnan 34 (kedua berdiri dari kiri), salah satu kru pesawat MH370 semasa temu ramah dengan wartawan The Malaysian Insider di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 8 April, 2014. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 13 April, 2014.
Pramugara pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan dikatakan berhasrat menukar kerjayanya selepas 12 tahun bekerja dengan Malaysia Airlines, kata rakan karibnya Abzariq Abas.
Menurut Abzariq, 34, Mohd Hazrin yang mesra dengan panggilan "Rain" menyuarakan hasratnya kepada bapanya tidak berapa lama sebelum pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang.
Terdapat 50 orang rakyat Malaysia dalam pesawat yang masih belum ditemui itu.
"Rain ada berkata dengan bapanya, dia mahu menukar kerja, menjadi pengacara atau sebagainya," kata Abzariq kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Abzariq, Rain sering bergurau bersama rakan-rakan karibnya dan merupakan seorang yang "tinggi, gelap, dan kacak,"membolehkan beliau diterima bekerja sebagai pramugara di syarikat penerbangan nasional itu.
Rain yang berusia 34 tahun itu turut dilabelkan sebagai peramah, lucu, dan berdisiplin, menjadikan sesiapa sahaja selesa untuk berkawan dengannya.
Abzariq menunjukkan gambar yang terakhir dihantar oleh Hazrin kepada kumpulan Whatsapp mereka dalam temu ramah dengan wartawan The Malaysian Insider. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 13 April, 2014. Abzariq menunjukkan gambar yang terakhir dihantar oleh Hazrin kepada kumpulan Whatsapp mereka dalam temu ramah dengan wartawan The Malaysian Insider. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 13 April, 2014.Rain merupakan salah seorang daripada 12 anak kapal pesawat yang hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu.
Kehilangan misteri pesawat dengan 239 penumpang dan anak kapal itu masih menjadi tanda tanya, dengan misi pencarian antarabangsa yang kini memasuki tempoh sebulan masih diteruskan.
Abzariq ketika ditemui berkata, Rain sudah menetapkan hala tuju hidupnya untuk menjadi pramugara sejak tamat Tingkatan 5.
"Rain pergi ke temuduga MAS selepas tamat pengajian. Pada masa itu hari jadi dia," kata Abzariq, yang mengenali Rain ketika mereka menunaikan solat terawikh di sebuah surau semasa mereka masih lagi kanak-kanak.
"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Rain sudah sasarkan dia mahu menjadi pramugara, sebab itulah dia memilih jurusan Diploma Hotel dan Pengurusan di Universiti Teknologi MARA (UiTM)," katanya.
Abzariq, yang kini bekerja di sebuah syarikat perbankan di ibu negara merupakan rakan sekelas dan sebilik bersama Rain di Kolej Jati ketika menuntut di UiTM pada 1998.
Mereka juga sering menghabiskan masa bersama-sama 17 lagi sahabat karib yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai "Brotherhood" di Subang selepas tamat zaman persekolahan.
"Kami sangat rapat, selepas SPM, setiap hari kami akan lepak. Petang pukul 6 hingga maghrib. Kemudian selepas Isyak kami keluar lagi sampai subuh," katanya.
Ketika menuntut di UiTM, Abzariq berkata, imej Rain berambut "pacak" dan berbaju Adidas sering menjadi ikutan, malah bilik kediaman mereka, B2311 di kolej berkenaan turut menjadi "port" lepak oleh rakan-rakan mereka.
Menurut Abzariq, Rain, anak ketiga dan juga lelaki tunggal daripada tujuh adik-beradik sangat rapat dengan ayahnya, dan ketika temuduga untuk bekerja dengan MAS, bapanya turut menghantarnya.
"Rain sangat komited dengan tugas. Walaupun dia bercuti, dia akan 'standby' di rumah," katanya, dan menambah, "Rain hanya mengambil cuti sakit sebanyak empat kali sepanjang tempoh lima tahun pertama bekerja sebagai pramugara."
Abzariq bercakap tentang rakannya semasa temu ramah dengan wartawan The Malaysian Insider. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 13 April, 2014. Abzariq bercakap tentang rakannya semasa temu ramah dengan wartawan The Malaysian Insider. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 13 April, 2014.Abzariq berkata, beliau turut menjadi "bidan terjun" sebagai pengapit kepada Rain ketika majlis perkahwinannya bersama Intan Maizura Othman di Perlis ketika mereka berusia 28 tahun.
Intan menarik perhatian media melalui posting di laman sosial Instagram miliknya apabila insiden tersebut apabila memuat naik beliau redha dengan insiden yang menimpa suaminya itu.
"Assalamualaikum sayang... on the 8th memang mami dah jangka that you're already in heaven but on the next day I still want to keep my mind positive and hoping that you are still alive and will come back home to us," kata Intan yang dipetik dalam tulisan di akaun laman sosialnya, Instagram.
Rain meninggalkan seorang anak kecil dan Intan bakal melahirkan seorang lagi cahaya mata, redha dengan tragedi yang menimpa suaminya.
"Indeed, I have to be a bionic woman to face reality today, I will gradually tell Iman that she has lost her papa and Muhammad will be my pillar to move on," katanya, dan menambah, "You are the best husband and papa I could ever ask for."
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan, pesawat MH370 disahkan berakhir di sebuah kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi berdasarkan siasatan wakil Cawangan Siasatan Nahas Udara (AAIB) daripada Britain.
Sejurus berita kehilangan pesawat itu didedahkan kepada umum, Abzariq bersama-sama rakan karibnya bergegas ke kediaman Rain dan bertemu keluarganya.
Mereka kemudiannya atas inisiatif sendiri, menganjurkan solat sunat hajat sehingga ke hari ini.
"Kami tidak berhenti mengadakan majlis bacaan Yasin dan juga kenduri doa selamat memohon agar dipermudahkan segala-galanya," katanya. – 13 April, 2014.

Post a Comment

 
Top