0
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama

KUALA LUMPUR: Keadaan di bilik yang hampir kosong itu sejuk, hanya dihiasi meja dan puluhan kerusi. Dindingnya pula dihiasi corak jalur dan bintang bendera Amerika Syarikat (AS) serta burung helang yang menjadi simbol kemegahan negara tersebut.

Suasana senyap menyelubungi bilik tatkala Presiden AS, Barack Obama melangkah masuk untuk menemui 10 pemimpin masyarakat yang berbaris di hadapannya.

Namun,moodserius sebentar tadi telah bertukar lebih santai apabila Obama dengan mesranya melontarkan senyuman dan berkata, "Mari kita relaks," sambil meminta kesemua yang hadir mengambil kerusi masing-masing dan duduk dalam satu bulatan.

"Kita disuruh berdiri tetapi apabila beliau memasuki bilik, beliau bertanya, "Kenapa semua orang berdiri? Mari kita ambil kerusi dan duduk di dalam bulatan"," kata Ambiga ketawa mengenang saat tersebut.

Wakil Persatuan Hak Asasi Manusia (HAKAM), Datuk S.Ambiga berkata Obama malah telah mengambil kerusinya sendiri dan enggan membiarkan orang lain berbuat demikian untuknya.

"Dia ambil kerusinya sendiri... dia tidak mengharap untuk orang lain mengambilkan untuknya, "Tidak, tidak saya boleh ambil kerusi saya sendiri". Itu telah membuatkan yang lain-lain berasa selesa," kata Ambiga yang dihubungi melalui telefon.

Ambiga menyifatkan Obama sebagai seorang pemimpin yang mudah didekati.

Bagi Pengerusi Majlis Peguam Malaysia, Christopher Leong pula, beliau berasa terkejut apabila pemimpin AS itu tidak terikat dengan apa-apa formaliti.

"Pada masa itu kami semua mengambil kerusi masing-masing dan duduk di dalam bulatan kecil dan rapat, seperti perjumpaan 'Alcoholics Anonymous'" jelas Leong kepadaAstro AWANI.

"Beliau amat menyenangkan, santai dan mudah didekati. Beliau bertutur dalam 'bahasa kita'," katanya.

Kata Ambiga perbincangan itu pada mulanya dijadualkan hanya 15 minit, tetapi telah berlangsung selama 50 minit.

"Pada mulanya ia cuma 15 minit, tetapi ia berlanjutan hampir sejam. Jadi kami tidak boleh mengadu tidak cukup masa," kata bekas Pengerusi Majlis Peguam itu.

Katanya, Obama sebagai seorang yang tiada keangkuhan dalam dirinya, perbincangan tersebut amat mudah. Obama begitu serius tentang isu-isu yang dibangkitkan NGO-NGO tersebut dan dilihat amat berminat dalam isi kandung perbincangan.

"Saya bangkitkan tentang pilihan raya yang bebas dan adil... begitu juga Maria. Maria turut membangkitkan isu berkaitan ekstremisme. Saya juga telah bangkitkan tentang isu Anwar Ibrahim dan layanan terhadap pihak pembangkang," tambah Ambiga.

Beliau yang juga pengasas bersama Bersih berkata, Obama sedikit sebanyak tahu tentang apa yang sedang berlaku di Malaysia. Katanya ucapan awal Obama juga telah menekankan perlunya pembaikan ke atas hak asasi manusia.

Jelas beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga bersetuju terhadap pembaikan ke atas hak asasi manusia di Malaysia.

Katanya, negara mengharap AS agar tampil menyelesaikan masalah yang dihadapi sekarang tetapi sebenarnya ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan sendiri oleh kita.

Bagaimanapun, menurut Ambiga, pihak AS boleh membantu dari segi perjumpaan dengan kerajaan Malaysia memandangkan tahap kerjasama dengan negara itu sudah pun meningkat.

"Tahap kerjasama telah meningkat. Hak asasi manusia boleh menjadi salah satu agenda yang dibincangkan. Itu yang kita harapkan," katanya.

Beliau berpendapat, pertemuan tersebut telah memberikan mesej bahawa masyarakat awam merupakan komponen penting dalam perkembangan demokrasi sesebuah negara. Keinginan Presiden AS untuk berjumpa telah memberikan mesej tersebut.

Dalam pada itu, Ambiga turut mengimbau pengalamannya berjumpa dengan Wanita Pertama AS, Michelle Obama dan Hilary Clinton pada tahun 2009 semasa menerima anugerah Wanita Berani Antarabangsa 2009 sempena Hari Wanita Sedunia.

"Ia pengalaman yang menakjubkan. Berada di Washington bersama dua wanita yang dinamik dan sangat berkuasa, ia amat istimewa bagi saya," katanya.





Datuk S.Ambiga diapit Hilary Clinton (kiri) and Michelle Obama (kanan).


Post a Comment

 
Top