0
SUATU hari saya tumpang kereta kawan untuk ke pejabat. Kami singgah di sebuah warung dan saya turun beli makanan bungkus sementara kawan tunggu dalam kereta. Selepas itu, saya pun kembali semula ke kereta, buka pintu, masuk tetapi alangkah terkejutnya apabila yang saya tengok duduk di tempat pemandu bukan kawan saya.

Rupa-rupanya kawan saya dengan keretanya sudah ke depan dan kereta lain pula yang datang ambil alih tempat itu. Selepas minta maaf, saya pun keluar dari kereta orang yang tak dikenali itu dengan muka tebal.

Kelmarin, stesen radio Pahang FM mainkan topik 'tersilap orang' dengan perkongsian cerita oleh penyiar dan pendengar. Macam-macam. Yang banyak jadi hal seperti itu, wanita. Jangan tanya saya mengapa!

Alkisahnya, dalam satu kes, seorang isteri yang pastinya kepenatan kerana lama menunggu suami datang menjemput, masuk dalam kereta sambil merungut-rungut memarahi 'suami' yang lewat.

Setelah agak lama dan mendapati kereta itu tidak juga bergerak, barulah dia mengalih pandang ke arah 'suaminya'. Alangkah terkejut apabila mendapati yang duduk di tempat pemandu bukanlah suami yang dinanti.

Lalu untuk tutup malu, dia pun bertanya, "awak ni siapa?", "mana suami saya?" Tidak tahulah apa yang dijawab oleh pemandu merangkap tuan punya kereta itu tetapi kalau saya, akan balas begini: "Saya, sayalah... yang awak tu naik kereta saya ni kenapa? Mana saya tahu suami awak!"

Yang diceritakan hanyalah si pemandu itu kemudian melihat menerusi cermin pandang belakang, ada sebuah kereta lain yang serupa dengan keretanya, di belakang dan pemandu kereta itu dilihat ketawa berdekah-dekah melihat isterinya tersalah masuk kereta orang lain.

Kes tersalah suami atau tersalah isteri ini banyak berlaku di pasar raya. Seorang kawan saya yang 'kehilangan' isteri di pasar raya, kemudian mendapati isterinya bersama-sama seorang lelaki lain berjalan seiringan menolak troli barang.

"Betulnya, isteri aku pergi ambik barang dan aku tunggu troli. Tiba-tiba aku nampak barang yang aku sedang cari kat rak tidak jauh dari situ. Aku pun alih troli ke tepi dan pergi ambik barang itu. Mungkin selepas itu datang orang lain, dan isteri aku tak pandang terus ikut orang tu yang disangkanya aku.

"Orang tu pulak mungkin tak perasan isteri aku ikut dia. Bila aku panggil, merah padam muka isteri aku dan pelan-pelan dia belah ke tepi. Bila aku tanya pasal barang, dia kata sudah masuk dalam troli orang tu. Aku kata, pergi ambik lainlah, yang sudah masuk troli biarlah orang tu bayar nanti..," katanya.

Dalam kes lain yang hampir serupa - isteri orang dengan suami orang - bersama-sama berjalan menolak troli dan mereka masing-masing tersedar salah pasangan hanya setelah sampai di kedai makan.

Apabila 'si isteri' bertanya kepada 'suami'nya: "Abang nak makan apa?" baharulah dia tersedar yang ditanya itu rupa-rupanya suami orang lain.

Masa itu, masing-masing kelam kabut dan malu sesama sendiri. Pada masa yang sama, kelam-kabut juga mana nak cari pasangan sejati yang sudah hilang entah ke mana!

Di sini, saya nak kongsi satu petua mudah yang mungkin boleh jadi pedoman bagi sesiapa yang mungkin terbabit kes kehilangan isteri seperti ini.

Caranya mudah sahaja, kalaulah isteri anda hilang, telefon pun tidak berjawab, caranya, anda carilah wanita paling cantik yang ada di tempat itu, atau di pasar raya itu. Sapalah wanita itu, tanya nama, di mana rumah dan kalau boleh mintalah nombor telefon dia sekali.

Percayalah, dalam masa beberapa minit sahaja, isteri anda pasti akan muncul di sebelah dan tidak perlu untuk anda bersusah payah mencarinya lagi.

Kalaulah si cantik itu isteri orang, suaminya juga tentu akan muncul dalam masa beberapa saat sahaja dan selepas itu, selesaikan dan tanggunglah sendiri isu-isu yang berbangkit.



MUHAMAD MAT YAKIM

Post a Comment

 
Top