0
Mek tidak bertujuan mengganggu orang ramai dengan jualannya sekadar mencari rezeki yang halal.


 JAM di tangan menunjukkan pukul 6 petang, namun suasana agak gelap bagai sudah menjengah malam berikutan hujan lebat dan langit mendung.

Di sudut tepi kaki lima bahagian hadapan berdekatan kaunter bayaran di sebuah stesen minyak di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor, kelihatan kelibat seorang wanita tua menjinjing barang jualannya sambil berteduh daripada tempias hujan.

Penat berdiri, dia lantas duduk bersila di atas lantai simen sambil tubuhnya menyandar pada dinding.
Melihat pada raut wajahnya yang sedikit berkedut, makcik yang berkulit hitam manis dan mengenakan baju kurung berwarna hitam serta bertudung labuh itu, mungkin dalam lingkungan usia 60-an.

Bungkusan keropok jualannya dalam plastik berwarna putih diletakkan di hadapannya, sambil sebelah tangan mengepit beg tangan kecil barangkali untuk menyimpan duit hasil jualan.

Selama setengah jam saya memerhatikan gelagat wanita warga emas tersebut, timbul perasaan kasihan kerana sepanjang tempoh itu tidak ada seorang pun yang singgah mengisi minyak di situ, mendekati jauh sekali berminat dengan jualan keropoknya.

Sesekali dia menyapa mereka yang lalu-lalang di depannya, barangkali menagih simpati untuk membeli keropok ikan parang tersebut.

Teruja untuk mengetahui lebih lanjut kisah penjual keropok ini, saya cuba mendekatinya lantas menghulurkan salam perkenalan sebagai langkah pertama membuka bicara antara kami berdua.

Salam dibalas sambil tersenyum menampakkan kerutan pada wajah dan dahinya yang sudah dimamah usia.
Ketika itulah dia cuba meminta belas kasihan agar saya membeli keropok jualannya. Saya cuba berlakon seolah menolak barang jualannya bagi melihat reaksinya, namun dia tidak putus asa terus memujuk sambil menghulur bungkusan keropok yang berharga RM10.

Situasi tolak-menolak bungkusan keropok tersebut berlarutan beberapa saat. Apabila penulis memberitahu bersetuju untuk membeli keropok tersebut, serta-merta terpancar sinar gembira pada wajahnya.
Sementara menunggu hujan kembali reda, kami berbual sambil memerhati kelibat orang ramai yang lalu-lalang di kawasan stesen minyak itu.

Kehadiran individu lelaki dan wanita yang rata-ratanya warga emas, menjaja barang jualan, biasanya keropok, dengan berjalan kaki di stesen-stesen minyak sekitar Lembah Klang, bukan sesuatu yang asing bagi kebanyakan warga kota.

Lazimnya, mereka akan memujuk-rayu agar orang ramai membeli barangan mereka sehingga timbul rasa belas biarpun kadang kala rasa terganggu dengan kehadiran mereka.

Apa yang pasti, mereka bukan berniat mencetuskan rasa tidak selesa orang ramai sekadar mencari rezeki halal bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Bahkan, pada usia yang sepatutnya dihabiskan dengan berehat di rumah bersama anak-cucu, kumpulan warga emas ini sanggup meninggalkan kampung halaman bagi menumpang tuah di negara orang.

“Mek orang susah, datang jauh dari Pattani, Thailand, untuk menjaja keropok di sini. Di kampung tak ada kerja dan Mek dengar di sini (Malaysia) senang cari duit, itu yang Mek sanggup datang."

Itu antara pengakuan jujur makcik tua tadi yang hanya mahu dipanggil Mek, biarpun beberapa kali saya cuba bertanya nama sebenarnya.

Kata Mek, walau mempunyai empat anak, dia tidak boleh bergantung pada mereka kerana masing-masing sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.

Suaminya pula sudah uzur dan tidak berdaya untuk bekerja.
“Dapat berniaga di sini, Mek sudah cukup bersyukur kerana dapat menyara diri sendiri dan sedikit sebanyak membantu keluarga di kampung.

“Alhamdulillah, walaupun umur sudah lebih 60 tahun, badan masih sihat dan setakat ini masih boleh bekerja," katanya yang mula berhijrah mencari rezeki di Malaysia sejak setahun lalu.
Di kampung katanya, dia pernah bekerja di perusahaan membuat keropok dan ada ketikanya menjual keropok di pasar.

Namun, jualannya tidak seberapa kerana banyak persaingan daripada penjual-penjual keropok yang ramai di sana.

“Apabila ada kawan sekampung mengajak datang Malaysia untuk berniaga keropok, Mek setuju sebab Mek masih kuat dan perlu mencari rezeki untuk meneruskan hidup.

“Mek datang sini tahun lepas bersama tiga lagi kawan yang umurnya sebaya, Mereka juga menjaja seperti Mek.
“Sebulan sekali Mek akan balik Pattani untuk mengambil bekalan keropok. Masa itu dapatlah melepas rindu pada anak-anak dan cucu.

“Lagipun, mengikut peraturan imigresen, kami hanya boleh tinggal di Malaysia selama 15 hari sahaja, kemudian balik ke negara asal selama 15 hari sebelum datang semula ke sini membawa bersama keropok jualan dengan menaiki bas," katanya.

Menurut Mek, kalau diikutkan kos membawa keropok untuk dijual di sini memang agak mahal.
Selain tambang untuk pengangkutan, mereka juga perlu melunaskan bayaran kastam, sedangkan setiap kali perjalanan dia hanya mampu membawa 60 bungkus keropok.

Begitupun jumlah tersebut habis dijual dalam tempoh tidak sampai sebulan.
Buat masa ini, dia menyewa rumah di Sungai Merab, Kajang, bersama rakan-rakannya dan bergantung hidup sepenuhnya dengan jualan keropok.

“Hari-hari Mek bersama tiga orang rakan akan keluar rumah pukul 7 pagi dengan menaiki teksi. Pada pukul 8 pagi kami akan mula menjaja sehinggalah pukul 8 malam.

“Selalunya tempat Mek berniaga di stesen minyak Bandar Baru Bangi dan Saujana Impian (Kajang).
“Setiap hari kami akan lakukan benda yang sama. Tidak pernah cuti sebab kalau cuti nanti tidak dapat wang. Kalau tidak ada wang macam mana Mek nak membeli makanan dan bayar sewa rumah sebanyak RM60 sebulan bagi satu kepala.

“Kalau rezeki lebih, baki daripada sewa rumah tersebut Mek akan simpan untuk beli tiket bas dan bawa balik ke kampung," katanya.

Mengenai sambutan orang ramai terhadap barang jualannya, Mek mengakui, tidak kira sama ada jualannya sedikit atau banyak pada hari itu, dia tetap bersyukur dengan rezeki anugerah Allah.

“Keropok ini dijual sebungkus RM10 dan setiap hari Mek bawa 20 bungkus Kalau nasib baik boleh jual lebih 10 bungkus sehari, tetapi kadang-kadang dua bungkus pun susah nak jual. Walaupun sedikit Mek tetap bersyukur.
“Selalunya bukan Mek seorang yang berniaga di sini. Ada juga seorang peniaga lelaki yang berniaga di sini menyebabkan jualan turut berkurang," ujarnya.

Ditanya tentang keselamatan berniaga berseorangan di situ, dia mengakui tidak berasa takut kerana dikelilingi ramai orang dan hanya berniaga sehingga pukul 8 malam sahaja.

Malah katanya, setakat ini tidak ada kejadian buruk seperti hasil jualan dicuri dan sebagainya, berlaku.
“Mek pilih berniaga di stesen minyak kerana ia selamat dan sentiasa ada ramai orang berkunjung ke sini. Mula berniaga dulu ada juga ditegur oleh pekerja di sini kerana katanya mengganggu keselesaan pelanggan, tetapi lama kelamaan mereka diam dan tidak marah lagi.

“Ada juga pelanggan yang baik hati dan kasihan pada Mek, hanya sedekah wang dan tidak mengambil keropok. Mek terima dan menganggap itu rezeki dari Allah tetapi bukan bermakna Mek meminta sedekah.

“Paling lewat Mek pernah balik malam pukul 9 malam, itu pun cuma beberapa kali kerana menunggu teksi yang lambat ambil. Kebiasaannya selepas menunaikan solat Maghrib Mek akan terus pulang," katanya lagi.

Seorang lagi peniaga keropok, yang hanya dikenali sebagai Manan, 42, juga berasal dari Pattani, turut menjadikan stesen minyak di situ sebagai tempat mencari rezeki.

Mungkin kerana dia lelaki, Manan lebih agresif berbanding Mek, kerana dia tidak hanya duduk sahaja malah turut mengekori orang ramai di situ.

Sesekali dia akan menghampiri pemilik kereta yang sedang mengisi minyak di situ.

“Beli lah keropok ni kak, murah sahaja hanya RM10. Kasihan pada saya kak, saya datang jauh dari Pattani, saya orang susah. Jual keropok ni nak bantu keluarga di kampung," rayunya.

Menurut Manan, dia tinggal bersama rakan-rakannya di Sungai Buloh dan terpaksa bekerja keras untuk membayar sewa rumah.

Katanya, hasil jualan keropok tidak begitu banyak kerana bergantung kepada komisen.

“Saya menjaja dari pukul lapan pagi sampai 10 malam. Kalau nasib baik dapat jual banyak. Kalau tidak hanya satu atau dua bungkus sahaja sehari," katanya dengan wajah penuh simpati.


Huurrmmm...begitulah cerita Mek

Post a Comment

 
Top