0
                                        Sock Lay (belakang, kiri) bersama ahli keluarganya.

BANDAR MELAKA - "Apa lagi yang mampu kami buat? Apa daya kami untuk meredah samudera ganas itu mencari Sock Lay." Walau tenang, namun tetap ada air yang bergenang di mata Goh Keng Lian, 67, sewaktu dikunjungi pemberita.

Keng Lian adalah ibu saudara kepada salah seorang pramugari MH370, Goh Sock Lay, 45, yang hilang sejak 8 Mac lalu.

"Tahun ini, pasti suasana Musim Cheng Beng (menziarah kubur) bertambah suram. Sebelum ini Sock Lay pasti akan bersama kami memberi penghormatan kepada mendiang moyang, berdoa dan upacara sembahyang.

"Tapi kali ini Sock Lay tiada. Untuk beri penghormatan, berdoa dan bersembahyang untuknya pula...kami tidak tahu di mana sebenarnya Sock Lay."

Kata Keng Lian, mereka dan sanak saudara yang lain sudah bersedia dengan perkara lebih buruk sejak pesawat MAS itu dilaporkan hilang.

“Selepas mengetahui kita tidak dapat berhubung MH370, kami telah membuat tanggapan yang paling teruk. Walaupun hati masih sedih dan tak selesa dengan keadaan ini tapi kami tak dapat merubah apa-apa,” katanya.

Menurut Keng Lian, anak saudaranya yang mempunyai dua adik perempuan itu, setiap tahun pulang ke kampungnya di Perkampungan Portugis, Ujong Pasir di sini bersama ayahnya Goh Keng Huat sempena upacara Cheng Beng.

“Tapi tahun ini, dia (Sock Lay) tak sempat balik dan tidak mungkin akan balik lagi. selepas keluar bertugas 8 Mac lalu,” katanya.

Post a Comment

 
Top