0
KUALA LUMPUR: Hajjah Putih Haji Idris kelihatan tertekan dan hampir menangis ketika bercakap tentang menantunya , Nor Fadzillah Mat Rahim, yang berada di dalam pesawat MH370 yang hilang selepas berlepas dari Kuala Lumpur pagi tadi.

Hajjah Putih berkata beliau menerima panggilan telefon dari Malaysia Airlines pada kira-kira jam 6 pagi tadi, dan dia bergegas ke KLIA.

Tanpa memberikan maklumat penuh, Hajjah Putih berkata syarikat penerbangan itu memaklumkannya supaya menamakan dua orang wakil keluarga untuk berada di lapangan terbang bersama pasport mereka pada pukul 6 petang hari ini.

Mereka kemudian akan dibawa ke lokasi yang tidak diketahui.

“Nor Fadzillah mempunyai empat orang anak, tiga perempuan dan seorang lelaki. Dia sangat baik dan penyayang," kata Hajjah Putih.

Pesawat Malaysia Airlines yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi, awal hari ini.

Penerbangan itu membawa 239 penumpang termasuk 2 orang bayi dan 12 anak kapal.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan memaklumkan pesawat Boeing 777 tersebut berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi Sabtu dan dijangka mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi tadi.



Post a Comment

 
Top